KELUARGA rakyat Malaysia yang terbunuh dalam pesawat MH17 yang ditembak jatuh di ruang udara Ukraine hari ini menuntut mereka yang bertanggungjawab dibawa ke muka pengadilan, bersempena upacara peringatan menandakan ulang tahun ketiga tragedi itu.
Pesawat yang dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur itu ditembak jatuh dalam konflik di timur Ukraine pada 17 Julai 2014 menyebabkan kesemua 298 penumpang terbunuh.
Pasukan siasatan bersama antarabangsa memutuskan pesawat Boeing 777 ditembak dengan peluru berpandu BUK buatan Rusia yang dilepaskan dari wilayah yang dipimpin pemberontak.
Moscow yang berulang kali menafikan sebarang penglibatan dalam penembakan MH17, sebaliknya menyalahkan Kiev.
Seramai empat puluh tiga rakyat Malaysia terbunuh dalam tragedi tersebut, termasuk 15 anak kapal.
Kira-kira 90 ahli keluarga mangsa yang kebanyakannya berpakaian hitam, hari ini menghadiri majlis peringatan bersempena ulang tahun tragedi itu yang dianjurkan Menteri Pengangkutan Liow Tiong Lai.
“Saya mahu suspek ditangkap dan dihukum kerana jenayah mereka,” kata Fateen Izzah, adik kepada Hasni Hardi Parlan yang terbunuh dalam tragedi itu.
“Hanya keadilan segera akan meredakan kesakitan yang ditanggung saya dan keluarga selama tiga tahun ini,” tambah Izzah, 27 yang menahan air mata sambil memeluk tangan suaminya.
Mohamad Zaki, 40, yang kehilangan abangnya Mohamad Ali Mohamad Salim, 30 bersetuju dengan Izzah.
“Kami mahu pihak berkuasa menangkap mereka yang menembak pesawat itu. Saya tahu ia akan mengambil masa yang lama, tetapi saya akan bersabar,” katanya.
Kesemua keluarga diberi taklimat oleh Liow mengenai perkembangan terkini dalam siasatan terbabit.
“Kami yakin ... penyiasat dapat mengenal pasti penjenayah yang bertanggungjawab untuk tragedi MH17 dan kami mengenakan tindakan ke atas mereka di Belanda,” katanya sambil menambah siasatan dijangka selesai pada awal 2018.
Minggu lalau pihak berkuasa Belanda mengumumkan perbicaraan mana-mana suspek yang ditahan dalam penembakan pesawat MH17 akan diadakan di Belanda selepas perjanjian itu dicapai dengan beberapa negara mengetuai penyiasatan bersama. Kebanyakan mangsa adalah warga Belanda. - AFP, 13 Julai 2017.
Komen