Lapan lantikan politik BN dalam DBKL dikehendaki lepas jawatan


Low Han Shaun

Menteri Wilayah Khalid Abdul Samad berkata DBKL akan mengikuti prosedur yang betul untuk memastikan lantikan politik ini meletak jawatan, namun tidak menetapkan tempoh supaya mereka 'faham' arahan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 9 Julai, 2018.

KIRA-kira lapan lantikan politik dalam Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dikehendaki supaya melepaskan jawatan mereka, kata Khalid Abdul Samad.

Menurut menteri wilayah itu, DBKL akan mengikuti prosedur yang betul untuk memastikan lantikan politik ini meletak jawatan, namun tidak menetapkan tempoh supaya mereka “faham” arahan.

“Ada kira-kira tujuh ke lapan orang (lantikan politik).”

“Lambat laun kita akan paksa (pecat), jika mereka masih tidak mahu meletak jawatan dan faham, barulah kita ikut prosedur yang betul,” Khalid memberitahu pemberita pada sidang akhbar DBKL selepas mengadakan lawatan pertamanya hari ini.

Sebelum ini, Khalid mengumumkan yang semua wakil BN dalam lembaga penasihat DBKL diminta meletak jawatan dengan segera.

“Kita ada nama-nama mereka… lembaga penasihat sepatutnya terdiri dari pakar dan mereka dilantik berdasarkan itu supaya mereka dapat memberi perkhidmatan dan sumbangan yang berkualiti.

“Jika kita baca Akta (Perancangan) Wilayah Persekutuan, jelas bahawa ia tidak sepatutnya ada lantikan politik,” katanya. 

Seksyen 6 Akta (Perancangan) Wilayah Persekutuan menyatakan bahawa DBKL boleh melantik jawatankuasa bagi membantu melaksanakan tugas.

“Tetapi mengikut senarai yang saya dah lihat, kebanyakan lantikan politik ini dipilih berdasarkan kedudukan politik mereka, bukan berdasarkan kepakaran,” kata Khalid. – 9 Julai, 2018.

Berita penuh di sini.


 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen