PERDANA Menteri Jepun Shinzo Abe membatalkan lawatan kerjanya ke empat negara berikutan hujan lebat yang menyebabkan bencana banjir dan tanah runtuh sehingga mengorbankan 100 nyawa di negara itu, lapor media tempatan pada Isnin.
Abe sepatutnya mengadakan lawatan ke Belgium, Perancis, Arab Saudi dan Mesir bermula Rabu. Pegawai beliau enggan memberi sebarang respons terhadap laporan tersebut.
Abe dilapor memberitahu timbalan ketua parti pemerintah Parti Demokratik Liberal yang beliau “tiada pilihan lain selain membatalkannya” ekoran bencana yang berterusan, kata agensi berita Kyodo.
Stesen televisyen tempatan NHK dan beberapa media lain turut melaporkan yang lawatan kerja itu dibatalkan ekoran krisis tersebut.
Abe dijangka melawat beberapa kawasan yang teruk dilanda banjir dan tanah runtuh selewat-lewatnya Rabu, kata laporan itu.
Beliau dijadualkan melawat Belgium pada Rabu, bagi menandatangi perjanjian perdagangan bebas dengan Kesatuan Eropah.– AFP, 9 Julai, 2018.
Komen