Empat mangsa dikeluarkan dari gua Thailand dalam keadaan baik


Menteri Dalam Negeri Jen Anupong Paojinda yang mengesahkan perkara itu berkata pada umumnya mereka 'kuat dan selamat' dan dalam pegawasan perubatan yang rapi. – Gambar EPA, 9 Julai, 2018.

EMPAT kanak-kanak lelaki yang berjaya dibawa keluar dari gua yang banjir di Mae Sai dalam wilayah Chiang Rai di utara Thailand  berada dalam keadaan baik dan kini menerima rawatan di hospital Prachanukroh dalam wilayah itu.

Menteri Dalam Negeri Jen Anupong Paojinda yang mengesahkan perkara itu berkata pada umumnya mereka “kuat dan selamat” dan dalam pegawasan perubatan yang rapi.

“Mereka perlu menjalani beberapa ujian perubatan,” katanya kepada pemberita hari ini.

Semalam, keempat-empat kanak-kanak itu yang identiti mereka tidak didedahkan pihak berkuasa merupakan kumpulan pertama yang dibawa keluar oleh para penyelam dari gua yang banjir dalam misi yang mencabar dan berbahaya itu.

Kanak-kanak pertama dibawa keluar dari gua itu pada 5.40 petang (waktu tempatan) diikuti kanak-kanak kedua 10 minit kemudian manakala kanak-kanak ketiga dan keempat di bawa keluar masing-masing pada 7.40 dan 7.50 petang.

Mereka kemudian digegaskan ke hospital wilayah itu oleh helikopter tentera.

Kanak-kanak itu serta sembilan yang lain termasuk jurulatih yang kesemua  mereka berumur antara 11 hingga 25 tahun merupakan anggota akademi bola sepak “Mu Pa” telah  terperangkap  dalam gua yang penuhi air banjir sejak 23 Julai.

Perdana Menteri Jen Prayut Chan-o-cha ketika ditanya dalam satu acara rasmi di Bangkok mengenai misi menyelamat seterusnya, berkata pihak berkuasa akan membawa keluar kesemua 13 yang terperangkap itu  secepat mungkin  tetapi tidak dapat menyatakan selama mana proses evakuasi itu akan berlangsung.

“Saya tak mahu pihak media bertanyakan berapa hari, berapa bulan atau tahun kita dapat membawa mereka keluar dari gua itu, tetapi kami akan cuba melakukanya secepat mungkin dan selamat.

Beliau akan ke Chan Rai lewat hari ini bagi meninjau lebih dekat misi menyelamat  mereka yang masih terperangkap itu.

Sementara itu di Chiang Rai pasukan penyelamat masih belum mengumumkan misi menyelamat seterusnya  kerana  wilayah itu mula mengalami hujan lebat sebagai petanda bermulanya musim monsun.

Anggota media berkumpul berhampiran jalan masuk ke Than Luang sambil menunggu bekas gabenor Chiang Rai, Narongsak Ossothanakorn memberkan butiran serta status terkini misi menyelamat itu. – Bernama, 9 Julai, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen