DUA lelaki Thailand didakwa kerana menyebabkan kematian pelancong Australia ketika menjalankan aktiviti parasailing di Phuket.
Kejadian itu disaksikan orang ramai apabila Roger Hussey, 71 tahun jatuh lebih 100 kaki (30 meter) di perairan cetek di pantai Kata selepas abah-abah yang mengikat badannya pada jurulatih parasailing gagal berfungsi.
Isteri mangsa yang merupakan warga Thailand, Budsabong Thongsangka merakamkan detik itu dan memuatnaiknya ke internet.
Polis Thailand mengesahkan dua lelaki terbabit didakwa.
“Pemilik bot Montien Jandaeng, 45 dan pembantu paracut Rungroj Rakcheep, 38 didakwa atas kecualian hingga menyebabkan kematian orang lain,” kata Leftenan Suwisit Keereerak dari balai polis Karon kepada AFP.
“Peralatan digunakan tidak mengikut piawaian ditetapkan dan pembantu paracut juga gagal memberitahu mangsa untuk memegang tali pada kedudukan yang betul,” katanya dan menambah Hussey mati di hospital.
Pelancongan merupakan industri utama menjana ekonomi Thailand, namun kemalangan membabitkan pelancong sering terjadi berikutan penguatkuasaan peraturan keselamatan yang longgar.
Pihak berkuasa di negara itu sering menjatuhkan hukuman terhadap kes kemalangan maut namun pengkritik berkata pemeriksaan sepatutnya dijalankan bagi mencegah kejadian yang sama daripada berulang.
Rekod keselamatan jauh berbeza dengan jumlah kehadiran pelancong daripada luar negara yang mana Thailand menerima 32 juta pelancong pada 2016 berbanding 14 juta pada 2006. – AFP, 13 Julai, 2017.
Komen