Pensyarah UUM saman Mujahid dan 2 lagi pemimpin Amanah


Looi Sue-Chern

BEBERAPA jam selepas mendapat saman fitnah RM5 juta daripada Naib Presiden Amanah Dr Mujahid Yusof Rawa, pensyarah Universiti Utara Malaysia Kamarul Yusoff membalas beliau juga akan memfailkan saman terhadap ahli politik itu.

Menerusi halaman Facebook beliau, Kamarul berkata akan turut mengheret Pengarah Komunikasi Amanah Khalid Samad dan Pengarah Biro Undang-undang Amanah Mohamed Hanipa Maidin ke mahkamah.

“Tindakan Mujahid memfailkan saman fitnah menggambarkan Amanah adalah parti ‘jumud’ yang tiada kemampuan untuk berdialog seperti yang sering diwar-warkan dan bukan sebuah parti ‘progresif’ yang terpamer dalam cogan katanya,” katanya.

Mujahid melalui peguam Mohd Fitri Asmuni memfailkan saman fitnah terhadap Kamarul pagi ini di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur berkaitan artikel Facebook bertajuk “Dr Mujahid Antara Kuda Tunggangan Terbaik DAP” pada 25 Mei .

Mujahid juga memohon kepada mahkamah membuat injunksi untuk menghentikan Kamarul daripada menerbitkan semula kenyataan itu. Saman difailkan selepas Kamarul gagal memohon maaf di atas kenyataannya.

Kamarul mengesahkan menerima notis tuntutan pada 5 Jun dan berkata artikel itu adalah komen beliau berkaitan kenyataan Mujahid mengenai buku Speaker Selangor Hannah Yeoh - “Becoming Hannah: A Personal Journey”.

“Saya sekali lagi ingin menegaskan komen ‘kuda tunggangan’ saya jauh lebih lembut berbanding istilah-istilah yang jauh lebih teruk pemimpin dan penyokong Amanah untuk mengecam saya ekoran tindakan saya membuat laporan polis terhadap Hannah Yeoh.

“Ia juga lebih lembut berbanding istilah-istilah Mujahid untuk mengecam saya, termasuk menyifatkan saya sebagai ‘gila’, ‘jahil’, ‘bodoh (cerdik)’, dan ‘penulis upahan’ dalam satu tulisan beliau.

“Sehubungan itu, saya akan memulakan tindakan undang-undang terhadap Mujahid, Khalid dan Hanipa,” kata Kamarul tanpa menjelaskan sebab untuk mengheret dua lagi pemimpin Amanah itu ke mahkamah.

Di dalam artikel berita - “Iman Tak Goyah Pun Baca Buku Yeoh” pada 24 Mei, Mujahid yang juga Ahli Parlimen Parit Buntar berkata imannya tidak goyah selepas membaca buku Yeoh.

Pada Mei, Kamarul menjadi tajuk utama selepas mendakwa autobiografi Yeoh adalah agenda Kristianisasi Yeoh.

Yeoh yang merupakan Adun DAP kemudian membuat laporan polis terhadapnya. Kamarul bertindak balas dengan laporan polis ke atas Yeoh sambil menuduh DAP berpura-pura dalam hal agama.

Kamarul mengakui dia mengkritik Rang Undang-undang Keharmonian dan Rekonsiliasi yang digubal Majlis Konsultasi Perpaduan Negara yang dipengerusikan Mujahid dalam artikelnya dan antara lain menuduh pemimpin Amanah dan parti serpihan PAS itu menjadi “kuda tunggangan” DAP.

Bagaimanapun, menurut Kamarul kritikannya mengenai RUU Keharmonian dan Rekonsiliasi itu adalah kritikan sama yang dibuat dalam artikel Facebook beliau pada 21 Jun 2014.

“Saya memberinya peluang untuk membalas kritikan saya sejak 21 Jun 2014 dengan men’tag’ akaun Facebook beliau sebanyak dua kali tetapi dia tidak pernah mempertikai mahu pun memberi maklum balas.

“Ketika saya memanggilnya (Mujahid) ‘kuda tunggangan terbaik DAP’, ia berdasarkan usulnya untuk menghapuskan parti politik berasaskan kaum dan agama yang pernah diutarakan bekas pengerusi DAP Karpal Singh pada 5 November 2013,” katanya.

The Malaysian Insight dalam artikel pada 24 Mei memetik Mujahid sebagai berkata  Malaysia harus menghapuskan bangsa dan politik berasaskan agama, dan membuka keahlian parti politik kepada semua kaum.

Apabila ditanya mengenai apa yang difikirkannya terhadap tanggapan Kamarul terhadap samannya, Mujahid berkata, “Kami akan menjawab di mahkamah.”

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menetapkan 27 Julai untuk sebutan semula. – 13 Julai, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen