PRESIDEN Amerika Syarikat (AS), Donald Trump setakat ini masih belum memutuskan mengenai pengganti Hakim Mahkamah Agung, lapor agensi berita Xinhua.
“Kami sudah hampir untuk membuat keputusan. Saya akan membuat keputusan malam ini atau esok,” katanya ketika ditemui pemberita di Morristown, New Jersey pada Ahad.
Ditanya berapa ramai calon yang akan dipertimbangkan, Trump berkata buat masa ini terdapat empat nama.
Menerusi twitternya, presiden itu berkata, beliau tidak sabar untuk mengumumkan nama yang telah dipilih pada pagi Isnin di Rumah Putih.
Mahkamah Agung AS mempunyai sembilan ahli, berperanan untuk membuat keputusan akhir berkaitan perkara penting yang membentuk politik negara. Di samping itu ia juga berperanan sebagai panel rayuan tertinggi dan mahkamah perlembagaan.
Pemilihan itu untuk menggantikan Hakim Anthony Kennedy, yang mengumumkan persaraannya lewat bulan lepas.
Kennedy, 81, merupakan ahli paling lama dan telah berkhidmat selama hampir 30 tahun memegang jawatan tertinggi di mahkamah AS.
Empat calon dalam senarai pentadbiran Trump ialah: hakim mahkamah rayuan Brett Kavanaugh, Raymond Kethledge, Amy Coney Barrett dan Thomas Hardiman.
Pelantikan itu adalah yang kedua dilakukan Trump dalam tempoh dua tahun sejak memegang tampuk pentadbiran. – Bernama, 9 Julai, 2018.
Komen