Myanmar dakwa 2 wartawan Reuters kerana laporan Rohingya


Warga Myanmar, Wa Lone, 32, dan Kyaw Soe Oo, 28, yang bekerja sebagai wartawan untuk Reuters didakwa di bawah akta rahsia negara kerana laporan krisis Rohingya. – Gambar AFP, 9 Julai, 2018.

DUA wartawan Reuters didakwa melanggar undang-undang kerahsiaan Myanmar yang menekan semasa melaporkan krisi Rohingya dan akan dibicarakan, putus seorang hakim pada Isnin. Dakwaan kesalahan itu jika sabit bersalah boleh dijatuhkan hukuman penjara sehingga 14 tahun.

Warga Myanmar, Wa Lone, 32, dan Kyaw Soe Oo, 28, “didakwa di bawah akta rahsia negara”, kata Hakim Ye Lwin di mahkamah.

Kedua-duanya sudah ditahan hampir tujuh bulan sementara menunggu bicara.

Reuters berkata yang wartawan mereka hanya melakukan tugas mereka dengan melaporkan pembunuhan Islam Rohingya dan menggesa mahkamah mengugurkan kes itu.

Tetapi hakim memutuskan wujud bukti mencukupi mengenai “mengutip bukti” daripada pegawai kerajaan untuk meneruskan perbicaraan itu.

Warga Myanmar itu ditahan Disember lepas dan dituduh memiliki bahan material sensitif yang bocor berkaitan operasi rahsia tentera di negeri bergolak Rakhine.

Tuduhan ke atas dua wartawan itu dikecam hebat kumpulan hak asasi manusia dan pemerhati asing yang menyifatkannya sebagai usaha pihak berkuasa negara itu mengekang kebebasan media dalam membuat laporan krisis Rohingya.

Sewaktu pendengaran pra bicara, pihak pendakwaan berhujah wartawan itu cuba mendapatkan “kertas rahsia” dan kerana itu layak dihukum berdasarkan undang-undang kerahsiaan legasi penjajah British.

Wartawan itu mendakwa mereka diperangkap polis- kisah yang berkemungkinan besar disokong oleh pemberi maklumat polis yang mengatakan polis diarahkan memerangkap wartawan itu.

Kedua-dua wartawan itu sedang menyiasat pembunuhan 10 orang Islam Rohingya di Kampung Inn Din, Rakhine sejak operasi tentera dilancarkan tahun lepas untuk menghapuskan pemberontak Rohingya.

Wa Lone, yang bertindak mengangkat “ibu jari sebagai tanda bagus” kepada wartawan yang membuat laporan kes mahkamah itu berikrar akan melawan ketidakadilan dalam kes itu.

“Kami ada hak untuk membela diri. Mahkamah tak putuskan yang kami bersalah,” katanya selepas penghakiman.

“Kami dedahkan kes dengan menyiasatnya berdasarkan etika kewartawanan. Kami tak akan menyerah kalah.”

Operasi tentera dilancarkan pada Ogos 2017 memaksa lebih daripada 700,000 Rohingya yang dinafikan status warganegara Myanmar melarikan diri ke Bangladesh. – AFP, 9 Julai, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen