PRK Sungai Kandis pada 4 Ogos, kata SPR   


Muzliza Mustafa

Timbalan Pengerusi SPR Othman Mahmood pada sidang media yang diadakan di ibu pejabat suruhanjay aitu di Putrajaya hari ini.– Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 9 Julai, 2018

SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) menetapkan 21 Julai sebagai tarikh penamaan calon dan 4 Ogos sebagai hari mengundi bagi Pilihan Raya Kecil Sungai Kandis.

Pengumuman itu dibuat oleh Timbalan Pengerusi SPR Othman Mahmood pada sidang media yang diadakan di ibu pejabat suruhanjaya itu selepas mesyuarat yang diadakan tiga jam bagi membincangkan perkara itu hari ini.

Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis kosong berikutan kematian penyandangnya Mat Shuhaimi Shafiei akibat kanser limfoma Isnin lalu.

DUN Sungai Kandis terletak dalam kawasan Parlimen Kota Raja.

Othman berkata, SPR turut menetapkan 14 hari tempoh berkempen.

Beliau turut mengumumkan beberapa perubahan baharu yang akan dijalankan semasa pilihan raya kecil berkenaan berikutan banyak saluran dibuat bagi mengurangkan tempoh menunggu untuk membuang undi.

“Kami memutuskan untuk menambah jumlah saluran kepada 109 daripada 88 ketika Pilihan Raya Umum ke 14 dan akan menambah masa mengundi daripada jam 8 pagi hingga 5.30 petang,” katanya.

Kos bagi mengadakan pilihan raya berkenaan adalah kira-kira RM1.4 juta.

Pengerusi Pakatan Harapan Dr Mahathir Mohamad pada sidag media yang diadakan 6 Julai lalu berkata calon untuk PRK Sungai Kandis adalah dari PKR.

Katanya perkara itu dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Presiden dan ia dipersetujui bahawa calonnya adalah dari parti komponen PKR.

Bagaimanapun, calonnya masih belum diputuskan, kata Dr Mahathir pada mesyuarat Majlis Presiden yang diadakan Jumaat lalu.

Mat Shuhaimi yang meninggal dunia pada 2 Julai lalu pernah berkhidmat sebagai Adun Sri Muda sebelum memenangi kerusi Sungai Kandis pada PRU14 dengan 23,998 undi dalam pertandingan empat penjuru.

Beliau merupakan setiausaha politik kepada menteri Besar Selangor sebelum ini, Mohamed Azmin Ali.

Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail berkata beliau telah meminta PKR Selangor untuk menyenarai pendek calon untuk pilihan raya berkenaan.

Parti Islam PAS berkata mereka akan bertanding sekiranya ia pertandingan satu lawan satu.

Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan berkata, ini kerana PAS hanya merekodkan prestasi biasa di kerusi negeri itu pada PRU14 lalu.

“Jika parti pembangkang lain seperti Barisan Nasional, tidak bertanding, PAS mungkin akan meletakkan calon untuk satu lawan satu.

“Bagaimanapun sekiranya berlaku pertandingan tiga penjuru, calon kita akan pertimbangkan semula pencalonan PAS bagi mengelakkan perpecahan yang hanya akan memberi keputusan yang sama dengan PRU14,” katanya. – 9 Julai, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen