MANGSA penyakit anjing gila atau rabies ketiga di Sarawak iaitu seorang kanak-kanak perempuan berusia 7 tahun dari Kampung Lebor, Serian dilaporkan meninggal dunia.
Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah mengesahkan kematian itu pada 2.16 petang di Hospital Umum Sarawak (HUS) di Kuching akibat rabies encephalomyelitis.
Minggu lalu, dua beradik masing-masing berusia 4 tahun dan kakaknya 6 tahun, meninggal dunia juga akibat penyakit sama selepas ibu bapa mereka bersetuju untuk tamatkan alat bantuan hayat.
Kedua-dua mangsa mengalami mati otak.
Tiga mangsa terbabit dilaporkan digigit anjing yang membawa virus berkenaan.
Mangsa berusia 7 tahun itu pada awalnya menerima rawatan kerana demam sebelum ia menjadi lebih teruk dan dikejarkan ke HUS.
Dr Noor Hisham pada Selasa lalu mengesahkan kanak-kanak perempuan berusia 5 tahun dari Kampung Ampungan juga dari daerah Serian disahkan kes keempat penyakit itu.
Dia dilaporkan tenat dan ditempatkan di unit rawatan rapi HUS.
Dr Noor Hisham berkata, tiada kes baharu dilaporkan selepas ke situ dikesan sejak Selasa lalu.
Bagaimanapun, pengesanan kes aktif (ACD) yang dijalankan secara bersama Jabatan Kesihatan Negeri dan Pejabat Kesihatan Bahagian Serian bagi mengenal pasti dan merawat orang digigit anjing sejak 1 April sedang dijalankan.
Katanya, daripada 21,978 orang daripada 5,663 kediaman di 96 kawasan ditemubual, 225 daripada mereka digigit anjing dan diberi vaksin. – 13 Julai, 2017.
Komen