Pembela hak tanah adat Sarawak desak Kanun Tanah dipinda segera


Desmond Davidson

PEMILIK tanah adat di Sarawak semakin berang.

Aktivis hak tanah adat Nicholas Bawin berkata pada minggu ini saja, pemilik tanah adat kalah dalam tujuh kes di Mahkamah Rayuan berhubung tuntutan tanah berdasarkan kepada konsep “pemakai menoa” (kawasan) dan “pulau galau” (rizab hutan milik masyarakat).

Bawin yang juga bekas timbalan presiden Majlis Adat Istiadat negeri berkata untuk menghentikan kemarahan itu, kerajaan negeri perlu bertindak segera terhadap cadangannya meminda Kanun Tanah.

Beliau mencadangkan kerajaan negeri mengadakan persidangan tergempar dalam DUN untuk meluluskan pindaan Kanun Tanah berbanding menunggu sidang berikutnya pada November.

“Menunggu sehingga persidangan pada November boleh menyebabkan lebih ramai kehilangan hak terhadap tanah mereka kerana masih ada kes akan didengar di Mahkamah Tinggi dan rayuan,” katanya.

Ratusan kes tanah adat dijangka dibawa ke mahkamah selepas Mahkamah Persekutuan pada Disember lalu memutuskan hak tanah adat bagi masyarakat suku kaum asli, Dayak yang terpakai bagi tanah ladang mereka dan bukannya kawasan hutan sekitar rumah panjang tradisional.

Mahkamah Persekutuan memutuskan tiada perundangan di Sarawak yang memberikan kuasa undang-undang kepada tuntutan Dayak yang mereka ada hak tanah adat terhadap hutan dara di sekitar rumah panjang mereka.

Mahkamah juga memutuskan adat budaya pemakai menoa dan pulau galau tidak berada dalam definisi undang-undang di bawah Artikel 160(2) Perlembagaan Persekutuan ketika membenarkan rayuan kerajaan negeri dalam kes yang difailkan Tuai Rumah Sandah dan tujuh pemilik tanah di Ulu Machan, Kanowit.

Dayak sejak sekian lama berkata generasi mereka sudah lama mengamalkan hak adat terhadap pemakai menoa di sekeliling rumah panjang mereka, termasuk hutan primer di domain (pulau galau), yang biasanya dimiliki masyarakat itu.

Bimbang dengan kemarahan yang semakin menjadi-jadi, kerajaan negeri kemudian menubuhkan pasukan khas, diketuai Timbalan Ketua Menteri Douglas Uggah untuk menasihati kerajaan cara terbaik meminda Kanun Tanah, mencari jalan terbaik dalam membuat keputusan dan menyenangkan Dayak – bank undi kerajaan pemerintah.

“Saya tahu permohonan difailkan bagi semakan semula keputusan Mahkamah Persekutuan, tetapi melihat kepada tarikh bicara yang belum ditentukan, dan lebih penting hasil semakan itu, imperatif bagi kerajaan negeri bertindak segera meminda Kanun Tanah supaya hak masyarakat peribumi terhadap pemakai menoa dan pulau galau mereka diiktiraf,” kata Bawin. – 13 Julai, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen