MOHAMAD Zaini Yusof dan Asri Mektar tidak dapat menahan gembira apabila ditanya mengenai kerajaan Pakatan Harapan, walaupun selepas sebulan Pilihan Raya Umum ke 14 berlalu.
“Pada pagi selepas keputusan (PRU14), saya rasa seperti boleh bernafas kembali. Seolah-olah beban besar diangkat daripada dada saya,” kata Asri, 38 yang tinggal di Kelana Jaya dan bekerja dalam sektor hartanah di Lembah Klang.
Mohamad Zaini yang tinggal di Kapar, Klang kelihatan teruja ketika menceritakan kembali bagaimana beliau berjaga sepanjang malam hingga awal pagi 10 Mei ketika keputusan PRU14 diumumkan.
Keghairahan lelaki berusia 52 tahun itu pada hari berkenaan sama sebagaimana yang dirasainya hari ini kerana beliau tidak perlu lagi membayar RM1,200 sebulan untuk cukai barangan dan perkhidmatan (GST) bagi kedai pakaian terpakainya.
Namun keterujaan mereka masih lagi kuat terhadap PH dengan kepercayaan bahawa masih terlalu awal untuk melihat sebarang perubahan dalam negara. Kerajaan baharu perlu diberi lebih banyak masa untuk melaksanakan dasarnya, kata mereka.
Mereka dan tujuh orang lagi pengundi yang ditemubual The Malaysian Insight berkata, selain pemansuhan GST, tidak banyak prubahan dalam kehidupan mereka selepas lebih sebulan pilihan raya yang mencatatkan sejarah itu.
Namun mereka sanggup memberi peluang kepada PH untuk membuktikan kemampuan mereka.
Kempen PH dalam untuk melakukan perubahan dalam negara, membanteras penyelewengan, dan yang paling penting untuk pengguna, menurunkan kos sara hidup dan meningkatkan kadar gaji.
Ia turut menjanjikan pendidikan percuma di univeersiti awam, menambah baik sistem penjagaan kesihatan kerajaan dan memansuhkan caj tol di lebuh raya.
Namun selepas mendapati negara mempunyai hutang RM1 trilion, pentadbiran kerajaan baharu terpaksa merangka dan menyemak semula dasar mereka.
Menteri Kewangan Lim Guan Eng memberitahu The Malaysian Insight, PH hanya akan memenuhi janji mereka sebaik sahaja kewangan negara dalam keadaan baik.
Perubahan kecil
Buat masa ini, pengundi seperti seorang pensyarah dari Sabah Aries Henry, 40, berpuas hati dengan penurunan harga barangan runcit.
Pada 1 Jun lalu, kerajaan memenuhi janji utamanya untuk mengurangkan kadar GST kepada sifar, yang menjadikan harga barangan turun bagi beberapa jenis makanan import serta yang diproses dan produk isi rumah.
Walaupun hanya melihat perubahan kecil pada perbelanjaan barangan runcitnya, Henry masih lagi gembira.
“Walaupun pengurangan harga hanya 20 hingga 50 sen, kami gembira kerana ada perubahan yang membantu pengguna, katanya yang berasal dari Kota Kinabalu.
Rakan senegerinya, Priscilla Anabele Sebastian, juga menyedari beliau berbelanja sedikit bagi amaun barangan yang sama di pasar raya sejak 1 Jun.
“Biasanya saya belanja lebih RM50 seminggu untuk barangan dapur tapi sekarang tanpa 6% GST, harga barangan dapur saya kurang daripada itu,” kata preka grafik berusia 36 tahun itu.
Bagi mereka yang membeli kenderaan, seperti Mohamad Hamzah yang berasal dari Johor, mendapat kelebihan yang paling besar daripada tempoh kadar sifar GST hingga September apabila cukai jualan dan perkhidmatan akan dikuatkuasakan semula.
“Saya jimat kira-kira RM3,000 untuk kereta MyVi baharu bulan ini, walaupun saya tidak nampak perubahan ketara dalam perbelanjaan mingguan keluarga saya,” kata penjawat awam berusia 31 tahun yang berasal dari Segamat itu.
Pengundi lain turut menyedari perubahan kecil dalam lanskap sosio politik negara.
“Saya suka apabila semua media lebih telus sekarang. Terasa perbezaannya berbanding era Najib Razak,” kata Inja Bucking yang merupakan eksekutif perhubungan awam di sebuah syarikat minyak dan gas di Kuching, Sarawak.
Sementara itu, wartawan yang berpangkalan di Sarawak, Nigel Bolly berkata beliau tidak sabar menunggu pengurangan harga perkhidmatan jalur lebar akhir tahun ini.
Beri PH peluang
Namun Bolly dan ramai lagi pengundi lain berkata walaupun kerajaan telah berubah, aspek kehidupan lain masih kekal sama.
Dan mereka turut mempersoalkan sama ada oentadbiran PH boleh menunaikan janjinya yang lain.
“Harga makanan dan minuman di kopitiam masih sama, dan saya menjangkakan harganya mungkin akan kekal tinggi selepas SST,” katanya yang kini menetap di Kuching.
Sementara itu, Mohd Hilmi Makhti yang berasal dari Pulau Pinang meragui kerajaan baharu PH mampu melaksanakan janjinya.
“Mereka berjanji untuk melakukan banyak perkara. Persoalannya mampukah mereka melaksanakan janji seperti memansuhkan tol. Saya tidak rasa ia sesuatu yang mudah,” katanya yang merupakan peniaga di George Town.
Walaupun ragu, lebih separuh daripada mereka yang ditemu bual sanggup menunggu dan memberi peluang kepada PH.
“Masih terlalu awal untuk menilai kerajaan baharu ini. Saya tidak boleh katakan saya gembira sekarang. Saya tidak merasakan erubahan,” kata perunding unit amanah Nadhirah Ahmad Kamal ketika ditemui di Pulau Pinang.
Bagi pesara N Raja, 60, rutin hariannya tidak berubah sejak 9 Mei.
“Semuanya rasa sama sahaja,” katanya yang berasal dari Selangor dan sedang bercuti di Pulau Pinang bersama keluarganya.
“Mungkin kita akan lihat dan merasakan perubahan dalam beberapa tahun lagi selepas kerajaan baharu melaksanakan dasar baharunya. Tiada apa yang dapat dirasakan dalam masa hanya sebulan.”
Bucking yang menetap di Kuching berkata, kerajaan perlu diberi masa untuk mendapatkan rentak memandangkan majoriti menteri dalam barisan kabinet adalah masih baharu.
“Kamu tidak boleh menilai mereka sekarang sekiranya keadaan masih tidak terkawal. Saya rasa lima tahun sudah cukup untuk mereka membuktikan kemampuan.”– 9 Julai, 2018
Komen