SEORANG lelaki warga Taiwan yang ditahan bersama dadah jenis syabu ditembak mati polis Indonesia ketika cuba melarikan diri, kata pihak berkuasa pada Khamis.
Lin Ming Hui merupakan seorang daripada empat warga Taiwan ditemui di daerah Banten – beberapa jam dari Jakarta – dengan 1,000 kilogram paket dadah yang diletakkan dalam 51 kotak.
Polis mula menjalankan siasatan selepas menerima maklumat risikan daripada pihak berkuasa Taiwan mengenai kemasukan dadah dari China ke Indonesia, kata jurucakap polis, Argo Yuwono.
“Mereka ditangkap malam tadi, namun seorang mati ditembak selepas cuba melarikan diri. Dua daripada mereka kini ditahan, manakala lelaki keempat berjaya melarikan diri dan operasi memburunya kini giat dijalankan,” kata Yuwono kepada AFP.
Indonesia merupakan antara negara menguatkuasakan undang-undang anti dadah yang ketat di seluruh dunia termasuk hukuman berat ke atas pengedar.
Warga asing sering ditangkap ketika cuba menyeludup dadah ke Bali, sebuah pulau yang menjadi tarikan pelancong dari seluruh dunia setiap tahun.
Jakarta kini mempertingkatkan kempen anti dadah dan menjatuhan hukuman mati kepada beberapa warga asing sejak beberapa tahun lalu.
Warga Australia Andrew Chan dan Myuran Sukuraman dihukum mati pada April 2015 atas tuduhan menyeludup 8.3 kilogram dadah.
Seorang lagi warga Australia Schapelle Corby kembali ke negara asalanya selepas menjalani hukuman penjara selama 12 tahun berikutan dakwaan menyeludup dadah pada 2005. – AFP, 13 Julai, 2017.
Komen