Tarantino akan filemkan kisah pembunuh Charles Manson


Quentin Tarantino dilaporkan sedang merancang menerbitkan filem tentang pembunuh Charles Manson yang mengetuai kumpulannya membunuh 7 orang dalam tempoh dua hari pada 1969. – Gambar AFP, 13 Julai, 2017.

QUENTIN Tarantino, pembikin filem yang pernah memenangi Oscar sedang merancang menerbitkan filem berdasarkan kes pembunuhan dilakukan “Keluarga Manson”, menurut media Amerika Syarikat hari ini.

Pengarah Amerika itu sedang berbincang mengenai projek itu dengan beberapa pelakon terkenal dan akan mengarahkan filem itu berdasarkan skrip tulisannya sendiri.

Sumber memberitahu Brad Pitt yang membintangi filem arahan Tarantino “Inglourious Basterds” pada tahun 2009 dan Jeniffer Lawrence dikatakan sedang mengadakan perbincangan untuk membintangi filem itu.

Penerbit terkenal Harvey dan Bob Weinstein yang bekerja dengan Tarantino dalam semua filem terbarunya juga akan terlibat, kata media lagi.

Filem itu dilaporkan akan menjalani penggambaran pada tahun 2018, walaupun tarikh tayangan masih belum ditetapkan.

Charles Manson,82, yang masih menjalani hukuman penjara, merupakan ketua kumpulan “The Family” yang bergiat aktif di California dan membunuh beberapa orang termasuk bintang Hollywood yang ketika itu sedang mengandung, Sharon Tate.

Lawrence dan pelakon Australia, Margot Robbie dikatakan sedang dipertimbangkan untuk melakonkan watak Tate.

Sementara Pitt akan melakonkan watak Vincent Bugliosi, peguam yang mendakwa kumpulan itu.

Dalam pembunuhan kejam yang berlaku pada Ogos 1969 itu, Manson dan pengikutnya membunuh tujuh orang dalam masa dua hari.

Walaupun dilabelkan “ikon kejahatan Amerika”, Manson tidak dianggap pembunuh bersiri kerana kebanyakkan pembunuhan dilakukan pengikutnya. Dia yang pada awalnya dijatuhkan hukuman mati sebelum ditukar kepada penjara seumur hidup. – AFP, 13 Julai, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen