SEORANG wanita yang terdedah kepada agen senjata saraf Novichok di barat daya England, di mana seorang perisik Rusia juga jadi sasaran bahan kimia berbahaya itu pada Mac telah meninggal dunia, kata polis pada Ahad.
Perdana Menteri Theresa May berkata beliau “tergamam dan terkejut” dengan kematian Dawn Sturgess, seorang daripada dua orang yang jatuh sakit hujung minggu lalu di Amesbury, pekan berhampiran Salisbury.
“Polis dan pasukan keselamatan sedang berusaha keras mencari fakta kejadian yang kini disiasat sebagai kes bunuh,” katanya.
Beliau menawarkan ucapan takziah kepada keluarga Sturgess,44, yang mempunyai tiga anak. Beliau jatuh sakit bersama seorang lagi lelaki tempatan, Charlie Rowley,45.
Mereka dipercayai terdedah kepada Novichok ketika menguruskan bungkusan, dan kaitan dengan serangan di Salisbury pada Mac kekal jadi tumpuan siasatan.
Serangan itu menyebabkan bekas perisik Rusia, Sergei Skripal dan anak perempuannya, Yulia yang melawat dari Rusia berada dalam keadaan kritikal walaupun mereka berjaya diselamatkan.
Britain dan sekutunya menyalahkan Moscow kerana cubaan bunuh itu, mencetuskan penafian besar-besaran yang membawa kepada krisis diplomatik antarabangsa.
Pembantu Pesuruhjaya Neil Basu yang mengetuai polis anti keganasan Britain berkata kematian Strugess adalah “berita mengejutkan dan tragik”.
“Lelaki berusia 45 tahun yang jatuh sakit bersama Dawn masih dalam keadaan kritikal di hospital dan doa kami untuknya dan keluarga,” katanya dalam satu kenyataan.
“Detektif akan terus bekerja keras untuk mengumpul semua bukti supaya kita dapat memahami bagaimana dua orang warga terdedah kepada bahan berbahaya yang menyebabkan Dawn kehilangan nyawanya,” katanya. – AFP, 9 Julai, 2018.
Komen