Justin Bieber akan berkahwin


Justin Bieber, 24, dilaporkan melamar teman wanitanya, Hailey Baldwin, 21, di Bahamas selepas sebulan berpasangan. – Gambar AFP, 9 Julai, 2018.

BINTANG terkenal yang bermasalah, Justin Bieber akan berkahwin dengan model Hailey Baldwin selepas hanya sebulan berpasangan, lapor media semalam.

Pujaan ramai berusia 24 tahun kelahiran Kanada itu yang lebih banyak dikenali kerana kekecohan ditimbulkannya melamar gadis berusia 21 tahun itu ketika makan malam pada malam Sabtu di sebuah restoran di Bahamas, lapor portal hiburan TMZ.

Portal memetik kenyataan saksi di restoran yang berkata pasukan keselamatan Bieber meminta mereka tidak merakam lamaran itu.

Wakil Bieber tidak memberikan kenyataan mengesahkan perkara itu tetapi keluarga pasangan itu memberikan isyarat yang berita itu ada benarnya.

“Bangga adalah perkataan yang tak tepat! Seronok untuk bab baru!” tulis bapa penyanyi itu, Jeremy Bieber di Instagram dengan gambar anaknya.

Ibu Bieber, Pattie Mallete pula menulis di akaun Twitternya: “Love Love Love Love Love Love Love.”

Hailey Baldwin, seorang model yang juga pernah berlakon adalah anak perempuan pelakon filem The Usual Suspects Stephen Baldwin dan anak saudara pelakon terkenal Alec Baldwin. Ibunya adalah model dari Brazil.

Bieber sebelum ini menjalinkan hubungan dengan ramai wanita terkenal termasuklah Selena Gomez dan Sofia Richie. Beliau mula dilaporkan berpasangan dengan Baldwin sebulan lalu.

Bieber yang kekal menjadi antara bintang yang albumnya laris, menjadi tumpuan tabloid kerana banyak kes termasuklah perlumbaan kereta di Miami dan kejadian membaling telur kepada rumah jirannya di Los Angeles.

Beliau menamatkan jelajah dunianya tahun lepas selepas 150 pertunjukan secara tiba-tiba, menjelaskan beliau sedang berusaha mengatasi masalah rendah dirinya. – 9 Julai, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen