Jumlah korban bencana hujan Jepun naik 75


Puluhan lagi masih hilang selepas hujan lebat yang turun berhari-hari menyebabkan banjir kilat dan tanah runtuh.– Gambar AFP, 9 Julai, 2018.

JUMLAH kematian kerana hujan lebat yang melanda Jepun meningkat kepada 75 orang pada Isnin, menurut angka rasmi ketika operasi menyelamat masih berjalan.

Puluhan lagi masih hilang selepas hujan lebat yang turun berhari-hari menyebabkan banjir kilat dan tanah runtuh.

Pekerja kecemasan dan tentera bergelut meredah lumpur dan banjir untuk menyelamatkan mangsa.

Media tempatan pula sudah melaporkan jumlah korban sebanyak 90 orang.

Perdana Menteri Shinzo Abe pada Ahad memberi amaran mereka sedang mengejar masa untuk menyelamatkan mangsa banjir kerana situasi mendesak, ada mangsa yang menulis di Twitter masing-masing untuk meminta bantuan diselamatkan.

Di perkampungan di tengah dan barat Jepun, penduduk yang terperangkap dipaksa berlindung di atap rumah masing-masing ketika air semakin naik.

Lebih 50,000 pekerja kecemasan, polis dan tentera digerakkan untuk bencana itu yang menyebabkan keseluruhan perkampungan ditenggelami air.

Jumlah korban meningkat saban hari, persekitaran buruk memaksa pekerja kecemasan bergantung kepada bot dan helikopter untuk menyelamatkan mangsa terperangkap.

Jumlah korban terbaru itu mengatasi jumlah terburuk bencana disebabkan hujan pada 2014, apabila sekurang-kurangnya 74 terbunuh dalam tanah runtuh disebabkan hujan lebat di kawasan Hiroshima. – AFP, 9 Julai, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen