Pemberi maklumat skandal korupsi Fifa meninggal dunia


Chuck Blazer (belakang) pegawai korup yang menjadi pemberi maklumat skandal korupsi Fifa sehingga menyebabkan kejatuhan bekas Presiden Fifa Sepp Blatter (depan) meninggal dunia. – Gambar AFP, 13 Julai, 2017.

PEGAWAI bola sepak korup yang menjadi pemberi maklumat dalam skandal rasuah Fifa, Chuck Blazer meninggal dunia semalam, kata peguamnya.

Blazer yang diharamkan terlibat dalam aktiviti bola sepak seumur hidup kerana dakwaan korupsi pada tahun 2015 menghidap penyakit kanser yang menyebabkan kematiannya. Dia berusia 72 tahun.

“Kami bersedih atas pemergian pelanggan dan rakan kami, Chuck Blazer,” kata peguamnya dalam satu kenyataan kepada AFP.

“Salah lakunya, yang dia bertanggungjawab sepenuhnya, tidak sepatutnya menghalang kesan positif yang dilakukan Chuck dalam arena bola sepak antarabangsa,” tambah kenyataan itu.

Bekas pegawai itu memainkan peranan utama dalam skandal korupsi yang melanda Fifa pada tahun 2015 sehingga menyebabkan kejatuhan bekas presidennya, Sepp Blatter.

Tetapi bertahun sebelum itu, Blazer sendiri terlibat dalam salah guna kuasa dan korupsi dalam Fifa semasa pentadbiran Blatter, menerima jutaan dolar untuk membiayai gaya hidup mewahnya. 

Antara yang diterimanya ialah sewaan apartmen bernilai AS$18,000 sebulan di Menara Trump, New York serta unit lain di bangunan sama dengan sewaan AS$6,000 hanya untuk menyimpan kucingnya.

Blazer mengaku bersalah pada tahun 2013 atas dakwaan mencatut wang, penipuan perpindahan dana, penggubahan wang haram dan mengelak cukai dalam skandal korupsi yang berlanjutan berdekad lamanya itu.

Ketika Fifa menjatuhkan hukuman larangan seumur hidup kepada Blazer pada 2015, dia sebenarnya sudah membuat perjanjian dengan pihak penyiasat untuk membantu siasatan dengan merekod mesyuarat bagi membantu membina kes menentang pegawai bola sepak korup di seluruh dunia.

Blazer membina pengaruhnya melalui CONCACAF, badan rasmi bola sepak untuk Amerika Utara, Amerika Tengah dan Caribbean, di mana dia dilantik sebagai setiausaha agung daripada tahun 1990 hingga 2011.

Dia ialah ahli berpengaruh Jawatankuasa Eksekutif Fifa yang penuh korupsi daripada tahun 1996 hingga April 2013.

Laporan dikeluarkan Jawatankuasa Integriti CONCACAF pada 2013 mengatakan Blazer menerima lebih daripada AS$20.6 juta komisten, upah dan sewa daripada organisasi itu antara tahun 1996 hingga 2011.

Antara 2004 sehingga 2011, sejumlah AS$26 juta perbelanjaan CONCACAF dimasukkan ke dalam akaun peribadinya.

Dia juga merupakan rakan rapat bekas Presiden CONCACAF Jack Warner yang juga berdepan dakwaan di Amerika Syarikat kerana skandal korupsi itu.

Nama panggilan Blazer ialah “Encik Sepuluh Peratus” kerana persetujuan yang dibuatnya dengan CONCACAF yang memberikannya 10 peratus daripada pendapatan organisasi itu.

Tetapi korupsinya mula terbongkar apabila gagal memfailkan borang pulangan cukai antara 2005 sehingga 2010, yang dikatakan sebagai cubaan untuk menyembunyikan jumlah sebenar pendapatannya.

Ejen FBI menahan Blazer di New York pada 2011. – AFP, 13 Julai, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen