DUA usul dan nasib seorang wakil rakyat pembangkang pastinya menghangatkan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak yang bermula hari ini.
Tetapi yang lebih mustahak, sama ada usul itu diluluskan dan bentuknya akan menentukan hak tanah adat Sarawak dan sokongan berterusan mereka kepada kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS).
Kerajaan negeri akan membentangkan usul meminda Kod Tanah Sarawak dan satu lagi usul untuk meminda Ordinan Perlombongan Minyak yang sudah berusia 60 tahun.
Usul Kod Tanah itu akan memberi kesan besar kepada Orang Asal Sarawak dalam tuntutan tanah adat mereka.
Ordinan itu pula akan menentukan antara Sarawak dan Petronas, siapakah akan berhak ke atas lapangan minyak dan gas yang banyak terdapat di negeri itu.
Sementara itu, Adun Pujut Dr Ting Tiong Choon akan menghadiri persidangan lapan hari dengan kedudukannya terancam.
Pada 13 Julai, Mahkamah Rayuan akan memberikan penghakiman sama ada Ting akan terus dapat jadi wakil rakyat selepas terbongkar beliau mempunyai dua kerakyatan iaitu Malaysia dan Australia.
Kod Tanah Sarawak pernah disifatkan perundangan yang unik kerana “menggambarkan kompleksiti kepelbagaian suku kaum dan budaya adat negeri dan dibentuk untuk melindungi hak Orang Asal”.
Ia dipinda untuk mengatasi keputusan Mahkamah Persekutuan 2016 yang menghakimi tuntutan berkenaan “pemakai menoa” (kawasan jajahan) dan “pulau galau” ( hak hutan simpan bersama komuniti) sebagai tidak mempunyai kuasa perundangan.
Keputusan itu menimbulkan kemarahan suku kaum Sarawak seperti Dayak dan Bidayuh. Pindaan undang-undang itu dijangka menyemarakkan lagi kemarahan mereka berdasarkan usul yang bocor kepada orang awam sebelum ini.
Salinan pindaan undang-undang yang bocor itu menunjukkan yang Orang Asal akan mempunyai hak untuk menggunakan tetapi tidak mempunyai hak pemilikan ke atas tanah tersebut, yang plot tanah yang terhad kepada 500 hektar dan mereka perlu memohon kebenaran Jabatan Tanah dan Survei untuk penggunaan tanah itu.
Mereka juga tidak dibenarkan menggunakan terma pulau galau atau pemakai menoa untuk merujuk kepada tanah kegunaan bersama komuniti mereka.

Parti pembangkang Sarawak, PKR dan DAP dijangka akan memberikan cabaran besar kepada usul pindaan akta tanah itu sebelum diluluskan walaupun mereka tidak mempunyai 10 wakil rakyat dalam DUN yang mempunyai 82 kerusi itu.
Selain kod tanah itu, Adun Pandungan Wong King Wei (DAP) berkata wakil rakyat pembangkang juga berkemungkinan besar tidak akan sependapat dengan kerajaan negeri berkaitan tuntutan Petronas terhadap sumber minyak Sarawak.
Wong berkata pertikaian itu melibatkan sama ada tuntutan itu adalah sifatnya perundangan atau politik.
Pembangkang berkata ia adalah masalah perundangan kerana Akta Pembangunan Petroleum (PDA) 1974 memberikan hak milik sumber minyak kepada Petronas.
Kerajaan negeri pula mendakwa PDA tidak sah di Sarawak kerana ia tidak pernah diratifikasikan di Dewan Undangan Negeri.
Menurut Wong, debat dijangka menyentu sama ada Sarawak berhak menghalang tuntutan Petronas, “pemilik” daripada meneroka dan mengeluarkan minyak dan gas yang secara undang-undangnya adalah milik mereka.
Bulan lepas, Petronas memfailkan permohonan di Mahkamah Persekutuan menuntut pengisytiharan bahawa syarikat itu adalah pemegang eksklusif sumber minyak dan gas Malaysia berdasarkan PDA.
Ia juga menuntut pengisytiharan yang mereka adalah pengendali dan penyelia industri huluan minyak dan gas.
Mahkamah tertinggi negara itu menolak permohonan kerana faktor prosedur dan meminta syarikat minyak negara itu memfailkan permohonan di mahkamah tinggi. – 9 Julai, 2018.
Komen