4 mangsa berjaya dikeluarkan, operasi menyelamat ditangguh untuk 10 jam 


Kesemua kanak-kanak itu dibawa ke hospital untuk diberikan rawatan. – Gambar EPA, 8 Julai, 2018.

OPERASI menyelamat kanak-kanak yang terperangkap dalam gua Tham Luang ditangguhkan malam ini selepas empat mangsa berjaya dibawa keluar.

Ketua operasi Narongsak Osottanakorn dilaporkan berkata, operasi tersebut ditangguh untuk sekurang-kurangnya 10 jam lagi. Operasi menyelamat dijadualkan akan disambung pagi esok pada jam 8 pagi waktu tempatan. 

AFP sebelum ini melaporkan, sekurang-kurangnya enam orang kanak-kanak berjaya dibawa keluar dalam operasi menyelamat malam ini.

Tetapi, BBC melaporkan kenyataan terbaru Gabenor Chiang Rai Narongsak Osottanakorn yang mendedahkan jumlah mangsa yang diselamatkan setakat ini hanyalah empat orang, membetulkan laporan awal. 

Dua mangsa pertama berjaya dikeluarkan dari kompleks gua Tham Luang petang tadi selepas melalui laluan sempit dan bergerigi sejauh lebih 4km. Ini kemudiannya diikuti empat lagi rakan mereka. Kesemua kanak-kanak itu dibawa ke hospital dengan helikopter yang bersedia membawa mereka terus mendapatkan rawatan. 

Sementara itu, CNN melaporkan operasi ditangguhkan bagi membolehkan tangki oksigen diisi semula selepas operasi awal. 

Keadaan cuaca juga dilaporkan kembali buruk selepas kumpulan mangsa awal dikeluarkan.

Juruselam elit dan Tentera Laut Thailand pagi tadi memulakan operasi bagi mengeluarkan 12 kanak-kanak itu dan jurulatih pasukan bola sepak mereka. Penyelam dilaporkan membawa dua tangki oksigen setiap seorang bagi misi menyelamat, satu untuk kegunaan mereka dan satu lagi untuk mangsa terperangkap. 

Pelajar berkenaan dan jurulatih mereka terperangkap dalam ruang sempit di gua Tham Luang yang terletak di kawasan pergunungan di utara Thailand pada 23 Jun lalu. 

Kejadian yang menimpa mereka mendapat liputan luas di Thailand dan seluruh dunia kerana kesukaran untuk menyelamatkan pelajar berusia antara 11 dan tahun serta jurulatih mereka yang berusia 25 tahun. – 8 Julai, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen