Empat mangsa pertama berjaya dibawa keluar dari gua di Tham Luang


Operasi menyelamat dilancarkan pagi tadi dengan 13 penyelam asing dan lima penyelam Tentera Laut Thailand ditugaskan membawa keluar pasukan bole sepak itu dan jurulatih mereka. – Gambar EPA, 8 Julai, 2018.

EMPAT daripada sekumpulan budak lelaki yang terperangkap telah dapat dikeluarkan dengan selamat dari gua yang dilanda banjir di Chiang Rai, bahagian utara Thailand, dan kini sedang menerima rawatan perubatan, unit SEALS, Royal Thai Navy mengesahkan di laman Facebooknya malam ini.   

Bekas gabenor Chiang Rai Narongsak Ossothanakorn, yang mengetuai operasi menyelamat, dijangka  mengadakan sidang akhbar pada 9 malam ini (waktu tempatan). 

Terdahulu, agensi media tempatan, Khaosod English, Thai Rath dan Bangkok Post telah membuat laporan mengenai dua budak lelaki pertama itu, yang dibawa keluar dari gua Tham Luang antara 5.30 petang hingga 5.50 petang (waktu  tempatan). 

Ini diikuti dua lagi budak lelaki diselamatkan.

Dua budak yang pertama diselamatkan itu kemudian diterbangkan dengan helikopter tentera ke sebuah hospital wilayah, sementara dua lagi menerima rawatan di tempat kejadian terlebih dahulu.

Menurut laporan media, dua lagi budak lelaki hampir selesai diselamatkan dan dijangka dibawa keluar dari gua beberapa ketika lagi.  

Dua belas budak lelaki, berusia antara 11 dan 15 tahun, dan jurulatih mereka berumur  25 tahun  terperangkap  dalam kompleks gua yang luas itu dekat sempadan Thai-Myanmar lebih 16 hari - insiden yang menarik perhatian seluruh dunia.

Pada kira-kira 10 pagi (waktu tempatan) hari ini, usaha untuk membawa keluar budak-budak itu beersama jurulatih mereka dari Akademi Bola Sepak Mu Pa (Babi Hutan) bermula dengan bantuan 13 juruselam asing dan lima dari Tentera Laut Diraja Thai, SEALS. – Bernama, 8 Julai, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen