PBB jumpa 38 kubur besar di wilayah bergolak Congo


Konflik yang bermula sejak September tahun lepas sudah membunuh 3,000 orang dan 1.3 juta lagi kehilangan tempat tinggal. – Gambar AFP, 13 Julai, 2017.

38 kubur besar ditemui di kawasan bergolak, Kasai di DR Congo, kata Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu semalam.

Sekurang-kurangnya 80 kubur besar sudah ditemui di kawasan itu sejak keganasan tercetus antara pasukan keselamatan dan militia puak, September lepas.

Masyarakat antarabangsa sudah menyuarakan kebimbangan tentang keganasan itu yang sudah mengorbankan lebih 3,000 orang menurut angka yang dikeluarkan gereja Roman Katolik.

Misi keamanan PBB, Monusco sebelum ini mengatakan yang “lebih daripada 400 mati” sementara 1.3 juta penduduk lagi sudah meninggalkan rumah mereka di daerah Kasai.

Misi penyiasat bulan ini menemui kubur besar terbaru di kawasan Diboko dan Sumbula dalam jajahan Kamonia, kata PBB.

Keganasan bermula tahun lepas apabila Kamwina Nsapu, ketua puak di kawasan berhampiran sempadan Angola secara terbuka mencabar kekuasaan kerajaan pimpinan Presiden Joseph Kabila menyebabkan serangan balas pihak berkuasa.

Nsapu terbunuh dalam operasi polis pada Ogos 2016 tetapi kumpulan bersenjatanya masih percaya yang dia masih hidup kerana dia dikebumikan rejim tanpa upacara penghormatan tradisional setaraf dengan kedudukannya sebagai pemimpin yang perlu dilakukan bagi menyerahkan pentadbiran puak kepada pemimpin seterusnya.

Febuari lalu, Monusco menuduh milita Kamwina Nsapu melakukan “kekejaman termasuklah merekruit dan menggunakan tentera kanak-kanak,” tetapi pada masa yang sama juga mengecam kekerasan melampau yang digunakan tentera kerajaan.

Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres menghantar dua pakar barat dihantar untuk menyiasat konflik itu tetapi dilaporkan hilang Mac lalu dan mayat mereka ditemui pasukan pengaman dua minggu kemudian.

Kerajaan menyalahkan militia puak atas pembunuhan itu. – 13 Julai, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen