AMERIKA Syarikat mahu mengadakan rundingan semula perjanjian perdagangan dengan Korea Selatan, kata Washington hari ini dengan harapan untuk memansuhkan apa yang disifatkan negara itu sebagai halangan perdagangan.
Perwakilan Perdagangan AS (USTR) Robert Lighthizer berkata dalam satu kenyataan yang dia diarahkan Presiden Donald Trump untuk memanggil mesyuarat khas Jawatankuasa Bersama di bawah Perjanjian Perdagangan Bebas AS-Korea (Korus).
“USTR bertindak selari dengan hasrat presiden untuk mengurangkan defisit perdagangan dan memberikan peluang yang lebih baik kepada rakyat Amerika untuk berjaya di pasaran global,” kata kenyataan itu.
Matlamat rundingan itu ialah untuk menurunkan defisit perdagangan Amerika dan meningkatkan daya saingnya di pasaran global.
“Presiden Trump terus menunaikan janjinya untuk menurunkan defisit perdagangan kita dan berunding bagi mendapatkan perjanjian perdagangan yang lebih baik untuk pekerja, petani, penternak dan perniagaan Amerika,” kata Lighthizer.
Lighthizer meminta mesyuarat itu untuk diadakan di Washington bulan depan pada tarikh yang akan dipersetujui kedua-dua pihak.
“Sejak Korus dikuatkuasakan, defisit perdagangan barangan kita dengan Korea meningkat dua kali ganda daripada AS$13.2 bilion kepada AS$27.6 bilion, tetapi eksport barangan AS sebenarnya semakin jatuh,” katanya.
“Ini berbeza dengan apa yang dijanjikan pentadbiran sebelum ini apabila mendesak kelulusan perjanjian ini. Kita boleh dan perlu mendapatkan yang terbaik (untuk AS).” – AFP, 13 Julai, 2017.
Komen