Libatkan Badan Peguam, Suhakam dalam siasatan kematian Teoh, kata keluarga


Briana Leong

Keluarga mendiang Teoh Beng Hock mahu Badan Peguam Malaysia dan Suruhanjaya Hak Asasi (Suhakam) turut serta dalam kumpulan siasatan ke atas kematian Teoh.– Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 8 Julai, 2018.

KELUARGA mendiang Teoh Beng Hock mahu Badan Peguam Malaysia dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) turut serta dalam kumpulan siasatan ke atas kematian Teoh.

Adik Teoh, Lee Lan mengucapkan terima kasih kepada kerajaan kerana sudi membuka semula siasatan terhadap misteri kematian abangnya pada 2009 ketika ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Bagaimanapun kami bimbang pegawai penguatkuasa daripada kerajaan terdahulu akan menganggu siasatan.

“Kami harap siasatan ketiga di bawah kerajaan baharu ini akan diketuai oleh ahli penguatkuasa bebas. Kami fikir pasukan petugas khas ini perlu turut memasukkan Badan Peguam Malaysia dan Suhakam sebagai ahlinya,” kata Lee Lan ketika ditemui pada majlis memperingati kematian Teoh di Nirvana Memorial Park di Semenyih pagi ini.  

Keluarga Teoh tidak berpuas hati dengan hasil siasatan Suruhanjaya Siasatan Diraja pada 2011 yang membuat kesimpulan bahawa Teoh membunuh diri kerana disoal siasat secara berterusan.

Oleh kerana itu, Lee Lan berkata keluarga beliau sudah hilang kepercayaan terhadap institusi awam seperti SPRM, polis dan Jabatan Peguam Negara.

“Amat mustahil untuk mempercayai yang bekas perdana menteri Najib (Razak) akan menunaikan janjinya untuk menghukum dalang kematian tersebut.

“Saya harap kerajaan baharu, bekas rakan sekerja Beng Hock akan menunaikan janji mereka, untuk memperbaharui institusi ini, supaya Beng Hock tidak mati secara sia-sia,” kata Lee Lan.

Beliau dimaklumkan yang Peguam Negara Tommy Thomas bersetuju untuk bertemu dengan keluarganya.

“Peguam kami (Ramkarpal Singh) akan menulis kepada beliau esok,” katanya.  

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen