PENYELAM elit pada Ahad memulakan operasi bahaya untuk mengeluarkan 12 kanak-kanak dan jurulatih bola sepak mereka yang terperangkap dalam gua yang dibanjiri air di utara Thailand sejak lebih dua minggu lalu.
Pasukan bola sepak “Wild Boars” itu dilaporkan terperangkap di beberapa kilometer dalam kompleks gua Tham Luang sejak 23 Jun, selepas memasukinya untuk berlindung daripada hujan sebelum pintu masuk gua berkenaan dinaiki air.
Nasib mereka mendapat perhatian dunia dan seluruh Thailand, ketika pihak berkuasa cuba merangka pelan untuk mengeluarkan mereka menerusi laluan sempit serta bersimpang siur yang dinaiki air.
“Hari ini adalah hari penentu. Kanak-kanak berkenaan sedia berdepan apa sahaja cabaran,” kata ketua pasukan penyelamat Narongsak Osottanakorn kepada pemberita berhampiran gua berkenaan ketika kaji cuaca meramalkan hujan akan melanda kawasan berkenaan yang boleh menyebabkan gua terbabit ditenggelami air.
Narongsak berkata, kanak-kanak pertama yang dijangka akan dibawa keluar dari gua berkenaan adalah pada sekitar jam 9 malam, yang bermakna proses perjalanan keluar kanak-kanak dan penyelamat itu memakan masa 11 jam.
Kumpulan kanak-kanak berusia 11 hingga 16 tahun bersama jurulatih mereka berusia 25 tahun ditemui dalam keadaan kelaparan oleh penyelam Britain sembilan hari selepas mereka memasuki gua berkenaan.
Namun keghairahan berhubung penemuan kanak-kanak yang masih hidup itu bagaimanapun berubah menjadi kebimbangan ketika pasukan penyelamat berusaha mencari jalan untuk mengeluarkan mereka, yang mana usaha itu disifatkan Narongsak sebagai “misi mustahil”.
Kematian penyelam tentera laut Thailand yang kehabisan bekalan oksigen di dalam gua itu pada Jumaat lalu menunjukkan tahap bahaya perjalanan walaupun oleh penyelam profesional.
Saman Kunan mendapatkan bekalan udara menerusi ruang yang ada di gua berkenaan dengan tangki oksigen namun beliau pengsan dan maut.
Selepas hujan pada malam Sabtu dan lebih banyak ramalan cuaca buruk, Narongsak pada Ahad berkata pihak berkuasa perlu bertindak pantas.
“Tiada hari yang kami lebih bersedia berbanding hari ini,” katanya.
“Jika tidak kita akan terlepas peluang.”
Air di dalam gua berkenaan keruh dan berlumpur, yang mana menurut salah seorang penyelam membandingkannya dengan cafe latte. Tali digunakan sebagai panduan untuk kanak-kanak berkenaan merempuh kegelapan laluan itu.
Narongsak berkata, hari ini dua penyelam akan menemani setiap kanak-kanak terbabit untuk keluar daripada gua itu. – AFP, 8 Julai, 2018.
Komen