.jpg)
SAYA merujuk kepada kenyataan media Yang Berhormat Saudara Lim Kit Siang, Ahli Parlimen Iskandar Puteri pada 2 Julai 2018 dan juga wawancara media bersama Yang Berhormat Nik Nazmi Nik Ahmad, Ahli Parlimen Setiawangsa yang diterbitkan pada 5 Julai 2018.
Mereka berdua telah secara berasingan mengingatkan Kerajaan Persekutuan untuk tidak dilihat sebagai ‘membalas dendam’ ke atas pegawai-pegawai Kerajaan dan ketua-ketua Syarikat Milik Kerajaan (GLC). Saya menyokong sepenuhnya apa yang mereka nyatakan.
Tidak dinafikan bahawa ramai yang telah bersubahat dengan kebobrokan pentadbiran Barisan Nasional yang terdahulu, sama ada di dalam kerajaan atau dalam GLC. Mereka wajar digugurkan atau ditukarkan daripada jawatan-jawatan mereka.
Tidak kurang juga mereka yang bersikap oportunis, yang dahulunya beriya-iya menyokong Barisan Nasional, tetapi kini menghimpit Pakatan Harapan pula. Kerajaan mesti berwaspada dengan golongan ini.
Tetapi pada masa yang sama, ramai juga yang mungkin tidak sehaluan dengan Pakatan Harapan sebelum ini, tetapi telah melaksanakan tanggungjawab mereka dalam perkhidmatan awam atau GLC dengan jujur dan amanah.
Kerajaan wajib memastikan bahawa ia tidak dilihat sebagai melancarkan ‘witch hunt’ ke atas pegawai-pegawai kerajaan dan ketua-ketua GLC yang tidak sehaluan dengan Pakatan Harapan.
Malaysia Baharu mestilah inklusif dan menggalakkan penglibatan semua pihak yang mahu membantu membina semula negara.
Mereka yang benar-benar mahu menyumbang kepada negara mesti diberi peluang untuk berbuat demikian, tidak kira agama, kepercayaan, ras, identiti seks, warna kulit mahupun haluan politik mereka.Tidak patut ada diskriminasi atau halangan ke atas mana-mana individu yang mempunyai kebolehan dan keupayaan daripada berkhidmat untuk Malaysia hanya atas sebab-sebab ini.
Malaysia Baharu bukan dimiliki oleh penyokong Pakatan Harapan sahaja; setiap anak Malaysia ini yang cinta akan negara mesti dibenarkan untuk membina semula ibu pertiwi ini. – 8 Julai, 2018
* Syahredzan Johan merupakan setiausaha politik ahli Parlimen Iskandar Puteri.
* Ini adalah pendapat penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insight.
Komen
Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh Sharizal Shaarani · Ulasan