NASA mengeluarkan gambar ribut besar di planet Musytari dikenali sebagai ‘Great Red Spot’ hari ini. Gambar itu ditangkap prob antara planet yang melintasi ribut itu.
Prob milik agensi angkasa lepas Amerika Syarikat yang diberikan nama Juno itu melalui ribut itu Isnin lepas, memberikan pandangan paling dekat kepada manusia tentang ribut yang terkenal di planet terbesar sistem suria itu.
“Beratus tahun, ahli sains melakukan pemerhatian, berfikir dan berteori tentang Great Red Spot di Musytari,” kata Scott Bolton, penyelidik utama Juno dari Southwest Research Institute, San Antonio.
“Sekarang kita ada gambar terbaik.”
Koleksi gambar itu boleh dilihat di sini.
Ahli sains berharap dapat mengkaji lebih lanjut ribut itu, dan Bolton mengatakan ia akan mengambil masa untuk menganalisis data yang dirakam Juno ketika dia melintasi puncak tertinggi 9,000 kilometer.
Great Red Spot mempunyai luas 16,350 kilometer pada 3 April tahun ini, yang merupakan 1.3 kali ganda saiz Bumi.
Juno dilancarkan pada 2011 dan mula mengorbit Musytari tahun lepas. – AFP, 13 Julai, 2017.
Komen