Korea Utara tolak gesaan AS untuk pelucutan senjata unilateral 


Setiausaha Kerajaan AS Mike Pompeo dan pemimpin Korea Utara Kim Jong-un pernah mengadakan pertemuan sebelum ini dalam proses damai antara dua negara itu.– Gambar EPA, 8 Julai, 2018.

PROSES damai antara Amerika Syarikat dan Korea Utara berdepan krisis pada Ahad selepas Pyongyang menolak desakan “seperti samseng”  Washington untuk pelucutan senjata nuklear, walaupun mengadakan rundingan selama dua hari. 

Setiausaha Kerajaan AS Mike Pompeo berada di Tokyo untuk memberi taklimat kepada rakan sejawatnya dari Jepun dan Korea Selatan berhubung rundingan itu, yang beliau sifatkan sebagai positif, namun enggan mengulas berhubung kenyataan Pyongyang menolak usahanya dan merayu kepada Presiden AS Donald Trump untuk memulihkan proses damai.

Menerusi Twitter, Pompeo berkata beliau mengadakan “mesyuarat konstruktif” dengan rakan sejawatnya dari Jepun dan membincangkan untuk “mengekalkan tekanan maksimum” ke atas Korea Utara.

Beliau dijangka akan mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Jepun Shinzo Abe dan Menteri Luar Korea Selatan Kang Kyung-wha pada Ahad. 

Bercakap secara peribadi, pegawai AS mencadangkan bahawa kenyataan “keras” Korea Utara merupakan taktik berunding. Namun selepas dua hari, Korea Utara dilihat kembali kepada pendirian tegasnya sebelum ini. 

Kementerian luar Korea Utara mengambil pengecualian daripada usaha Pompeo untuk mendapatkan komitmen yang konkrit bagi menyokong janji pemimpin negara itu Kim Jong-un, yang dibuat pada sidang kemuncak bulan lalu dengan Presiden AS Donald Trump untuk bekerjasama ke arah “denuklearisasi semenanjung Korea”.– AFP, 8 Julai, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen