Usia bukan penghalang bagi ahli Parlimen termuda Malaysia


Low Han Shaun

Ahli Parlimen Batu P Prabakaran berkata rasa cinta terhadap negara mendorongnya bertanding pada pilihan raya lalu. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 8 Julai, 2018.

KETIKA kebanyakan mereka yang berusia 22 tahun bimbang mengenai peperiksaan universiti atau akaun media sosial mereka, pada 16 Julai ini P Prabakaran secara rasminya akan menjadi ahli Parlimen termuda negara yang mengangkat sumpah.

Ia menyebabkannya berasa gemuruh dan teruja pada masa yang sama.

“Saya memikirkan mengenai kerusi, dan di mana tempat saya,” kata pelajar jurusan undang-undang tahun kedua itu.

“Dan juga mengangkat sumpah; ia adalah perkara besar bagi seorang budak lelaki berumur 22 tahun,” katanya kepada The Malaysian Insight dalam temu bual baru-baru ini.

Prabakaran melakar sejarah apabila memenangi kerusi Parlimen Batu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.

Prabakaran disokong oleh Naib Presiden PKR, Chua Tian Chang, tetapi memilih untuk kekal sebagai wakil bebas walaupun selepas kemenangan bersejarah Pakatan Harapan (PH) pada 9 Mei.

Kehidupannya sejak itu menjadi sangat sibuk, yang terpaksa mengimbangi pengajiannya dan jangkaan tugas sebagai anggota Parlimen.

“Saya sibuk menyelesaikan masalah rakyat, bukan sahaja dari Batu tapi dari beberapa tempat yang berbeza,” katanya.

Isu unit rumah kos rendah di kawasan pilihan rayanya termasuklah masalah lif, kebersihan, keselamatan dan saliran.

“Buat masa ini saya cuba menyelesaikan masalah besar di kawasan saya, iaitu masalah saliran.

“Tiada aliran air dan apabila hujan, ia menyebabkan banjir, jadi saya membangkitkan isu ini kepada DBKL (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur), dan saya akan mengadakan pertemuan dengan DBKL tidak lama lagi,” katanya.

Prabakaran juga sedang meneliti pembangunan di kawasannya, dan juga bekerjasama dengan organisasi bukan kerajaan dalam menyediakan peluang pendidikan kepada golongan miskin bandar.

Beliau mengakui masih banyak yang perlu dipelajari, tetapi mengakui senang dengan tugas barunya walaupun itu bermakna beliau tidak lagi mempunyai masa terluang untuk bersantai yang masih dinikmati kebanyakan rakannya.

“Buat masa ini, saya seorang ahli Parlimen sepenuh masa, saya tidak terfikir mengenai masa peribadi kerana saya suka melakukan perkara ini.

“Jadi saya rasa ini bertepatan dengan kehidupan peribadi saya, bertemu orang ramai, mengenali mereka dan mendengar masalah dihadapi mereka di Batu,” katanya.

Anak bongsu dalam empat beradik, Prabakaran berkata cintanya terhadap negara mendorongnya bertanding pada pilihan raya lalu.

Motivasinya hanya untuk menjadi contoh kepada belia lain.

“Saya berharap semua belia mempunyai motivasi dan minat untuk berkhidmat kepada negara ini.

“Patriotisme sangat penting kerana jika kita cintakan negara, kita akan cenderung melakukan sesuatu untuk pembangunan negara ini,” katanya.

Beliau menganggap kekurangan pengalaman dan usia mudanya tidak menjadi penghalang baginya memenuhi kewajipan tugas, sambil menambah pengundi dan pihak berkuasa menyambutnya dan sangat membantu.

“Mereka menghormati saya sebagai ahli Parlimen dan tidak melihat umur saya sebagai faktor, yang membuatkan saya sangat gembira, kerana umur bukan halangan bagi saya,” katanya. – 8 Julai, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen