PAS jemput Amanah, DAP ke rumah terbuka, umum sidang meja bulat 1MDB


Amin Iskandar

WALAUPUN diserang dan dikatakan “mesra Umno”, PAS membuat kejutan hujung minggu lalu apabila menjemput semua parti politik ke rumah terbukanya sambil mengumumkan akan memanggil satu sidang meja bulat 1MDB.

Lebih memeranjatkan, PAS turut menjemput parti serpihannya, Amanah dan musuh ketat mereka DAP ke majlis pada 8 Julai lalu yang turut dihadiri pemimpin Umno, PKR, Bersatu dan Ikatan itu.

Selain itu, bagi sidang meja bulat membahas skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), parti Islam itu menggemparkan ramai pihak apabila bakal memanggil pemimpin veteran DAP Dr Tan Seng Giaw.

“Pesuruhjaya PAS Pahang Rosli Abdul Jabar jemput semua wakil rakyat termasuk dari DAP dan Amanah,” kata Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man kepada The Malaysian Insight.

Ketua Penerangan PAS Nasrudin Hassan menganggap rumah terbuka Aidilfitri anjuran mereka sebagai “menyatukan ummah.”

“Alhamdulillah, wakil parti Ikatan, PKR, Bersatu, Umno, NGO dan tokoh masyarakat hadir.

“Kecuali Amanah dan DAP tidak berkesempatan hadir meskipun kami menjemput semua parti politik bagi memeriahkan majlis kami,” kata ahli Parlimen Temerloh itu dalam kenyataan di Facebook.

Pengerusi DAP Pahang Leong Ngah Ngah mengesahkan beliau menerima jemputan untuk ke rumah terbuka PAS tetapi tidak dapat menghadirinya.

“Kalau saya senang, saya pasti akan hadir.

“Walaupun berbeza daripada segi politik, ini adalah perayaan keagamaan, saya tidak ada masalah untuk hadir di atas kapasiti individu.

“Contohnya sebelum ini, apabila anak YB PAS kahwin dan saya dijemput, saya hadir,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanah Rata itu apabila dihubungi.

Bagaimanapun, Pengerusi Amanah Pahang Dr Hamzah Jaafar menafikan ada menerima sebarang jemputan untuk menghadiri rumah terbuka PAS.

“Sehingga hari ini, saya sebagai pengerusi Amanah Pahang tidak menerima sebarang jemputan.

“Biasanya jemputan di hantar ke pengerusi dan setiausaha, tetapi setiausaha saya pun tak terima,” kata Hamzah apabila dihubungi.

Bongkar skandal 1MDB

Tuan Ibrahim yang kini memangku jawatan presiden PAS daripada Abdul Hadi Awang konsisten dalam menyuarakan kritikan terhadap skandal 1MDB.

Walaupun kenyataan pemimpin-pemimpin lain dalam partinya seringkali berbeza dan kadangkala dianggap memihak kepada Umno, Tuan Ibrahim terus menerus mempersoalkan skandal 1MDB yang kini disiasat negara lain seperti Amerika Syarikat (AS), Switzerland dan Singapura.

Pada sidang media diadakan sempena rumah terbuka PAS di Kompleks Al-Makmur Kerdau, Temerloh Tuan Ibrahim mengatakan akan turut memanggil bekas Pengerusi 1MDB Mohd Bakke Salleh, bekas menteri besar Selangor Abdul Khalid Ibrahim dan bekas pembantu setiausaha agung PBB Dr Jomo Kwame Sundram.

Menurut Tuan Ibrahim, sidang meja bulat 1MDB anjuran PAS akan diadakan pada 7 Ogos bakal melibatkan tokoh-tokoh akademik dan ekonomi.

Katanya, program ini diadakan bagi mendengar penjelasan daripada kedua-dua belah pihak mengenai skandal kewangan terbesar negara itu.

“Kita akan dengar dulu perbincangan tersebut sebelum apa-apa tindakan selepasnya,” kata Tuan Ibrahim kepada The Malaysian Insight.– 12 Julai, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen