PASUKAN penyelamat berjaya menemui lima lagi mayat yang menjadi mangsa bot karam di Phuket, Thailand pada Sabtu.
Kebanyakan mayat yang ditemui hanyut di laut, masih memakai jaket keselamatan, beberapa kilometer dari tempat bot Phoenix karam selepas dilanda ombak tinggi lima meter dalam ribut pada petang Khamis.
Ia merupakan satu daripada bencana bot terburuk dalam sejarah terkini di Thailand, negara yang mempunyai rekod prestasi kesihatan dan keselamatan yang buruk walaupun sangat bergantung kepada pelancongan.
“Lima mayat dijumpai hari ini dan para penyelamat akan terus memeriksa bot untuk melihat sama ada terdapat banyak lagi mayat di sana,” kata Gabenor Phuket, Norraphat Plodthong, pada Sabtu.
Bot Phoenix tiga tingkat itu membawa 105 penumpang, kebanyakannya pelancong China, ketika ia karam semasa dalam perjalanan pulang dari tempat snorkeling yang popular.
Penyelamat berjaya menjumpai kira-kira 37 mayat pada Jumaat dan kerajaan wilayah Phuket mengatakan rumah mayat di pulau itu penuh, dengan pihak berkuasa China meminta 40 unit peti sejuk mayat.
Kira-kira 48 orang - penumpang dan anak kapal - diselamatkan pada Khamis, manakala seorang pelancong China diselamatkan pada Jumaat dan dibawa ke hospital di Phuket selepas semalaman di dalam air.
Penyelam pada Jumaat melaporkan melihat “lebih 10 mayat” terapung di dalam badan bot, yang tenggelam 40 meter di bawah permukaan Laut Andaman.
Tentera Laut Thailand Laksamana Charoenphon Khumrasee berkata harapan semakin tipis untuk menemui ramai lagi mangsa yang hidup.
“Sudah tentu kita akan terus mencari, tetapi peluang untuk terselamat adalah rendah. Kami akan menunggu mayat terapung sendiri,” katanya pada Sabtu.
Duta China ke Thailand, yang datang ke Phuket, berkata Beijing menghantar dua pasukan pencari dan penyelamat untuk membantu pihak berkuasa Thailand.
“Kami menumpukan untuk mencari yang mangsa hilang secepat mungkin, serta memberikan bantuan kepada anggota keluarga yang cedera dan keluarga terlibat, serta membantu mereka membuat persiapan untuk langkah seterusnya,” katanya. – AFP, 7 Julai, 2018.
Komen