Penunggang motosikal imbas kembali detik cemas lori tangki meletup


Desmond Davidson

Mathew menunjukkan kesan melecur pada bahagian lehernya akibat letupan lori tangki berkenaan.– Gambar The Malaysian Insight oleh Desmond Davidson, 12 Julai, 2017

“LORI tangki minyak itu akan terbalik.” Itu perkara pertama yang terlintas di fikiran Mathew Ondek selepas melihat sebuah lori tangki minyak mula terbabas.

Apabila lori tangki berkenaan terbalik dan minyak mula melimpah daripada rekahan yang berlaku, pekerja pelantar minyak berusia 33 tahun itu sudah menjangkakan apa yang bakal berlaku selepas itu.

Naluri – dan latihan – menyelamatkan nyawanya.

Mathew yang berada di hadapan barisan ketika berhenti di lampu isyarat persimpangan itu dengan jelas menyaksikan kejadian terbabit.

“Apabila saya lihat lori tangki itu mula terbalik, saya sudah cuba pusingkan motosikal dan berpatah balik. Saya tahu ia akan terbakar dan meletup.

“Saya rasa saya terlalu perlahan, jadi saya tinggalkan motosikal dan berlari secepat mungkin. Saya berlari menuju ke Pusat Perubatan Bintulu,” kata Mathew kepada The Malaysian Insight menceritakan semula pengalaman berdepan dengan insiden letupan lori tangki minyak di Bintulu pada Isnin.

Larian Mathew tidak cukup pantas.

Ketika berlaku letupan, Mathew hanya menyedari badannya sudah melambung ke udara.

“Saya tidak sedar sejauh mana saya tercampak, yang pastinya ia agak jauh.

“Semasa jatuh saya tidak terfikir untuk mengukurnya. Apa yang saya rasakan ketika bangun adalah sakit pada bahagian badan. Tapi saya terus lari tanpa menoleh ke belakang.

Mathew, yang sebelum itu ke bank berdekatan pusat komersial yang terletaknya BMC, ketika itu memakai baju kalis api.

Itu menyebabkan hanya bahagian badannya yang terdedah sahaja yang melecur akibat kebakaran lori terbabit.

“Kalau saya hanya pakai baju biasa, saya rasa badan saya sudah terbakar.”

Dalam situasi cemas ity kata Mathew, “hanya satu perkara di fikiran: selamatkan diri”.

“Saya tidak tahu apa yang berlaku di sekeliling saya dan apa yang dilakukan orang lain yang turut terperangkap dalam situasi itu.

“Hanya bila saya rasakan keadaan selamat, baru saya menoleh ke belakang untuk melihat apa yang berlaku.”

Apa yang dapat dilihat adalah api yang marak, beberapa kereta terbakar dan orang ramai bertempiaran lari.

“Saya tidak mampu untuk tolong orang lain ketika itu kerana berada dalam kesakitan.”

Bapa kepada seroang cahaya mata itu turut melecur pada tangan dan leher, namun dia bersyukur kerana terselamat.

“Saya percaya tuhan masih beri saya peluang untuk terus hidup dan selesaikan semua perkara dalam dunia ini.”

Video kejadian itu yang tersebar di media sosial memaparkan pemilik kenderaan cuba mengundurkan kenderaan mereka dalam keadaan panik.

Beberapa orang pula dilihat meninggalkan kenderaan mereka untuk menyelamatkan diri.

Pemandu lori tangki terbabit maut di tempat kejadian.

Hanya Mathew sahaja yang menunggang motosikal di persimpangan lampu isyarat Jalan Kiduring ketika kejadian.

Mereka yang berada dalam kereta kebanyakannya terlindung daripada api kebakaran itu.Bagaimanapun seorang wanita dilaporkan cedera.

Enam kenderaan yang berada berdekatan lori tangki terbabit mushah terbakar termasuk motosikal milik Mathew.

Menurut polis dan saksi, lori tangki terbabit melanggar pembahagi jalan sebelum terbabas di Jalan Bekri Ting menyebabkan ia terbalik.

Mayat pemandu lori tangki terbabit, Martin Joshua, 31 yang rentung dikeluarkan daripada bawah sebuah kenderaan pacuan empat roda. – 12 Julai, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen