Jokowi izin menteri Kabinet cuti tanding pilihan raya 2019


PRESIDEN Indonesia Joko Widodo membenarkan menteri Kabinetnya bercuti sementara untuk berkempen menjelang pilihan raya Parlimen 2019, lapor media di republik itu

Kebenaran cuti sementara itu kerana beberapa menteri dalam Kabinetnya adalah juga ahli politik yang akan dipilih oleh parti-parti masing sebagai calon pilihan raya, katanya.

Menurut Jokowi, menteri yang mahu maju sebagai calon tidak harus meletak jawatannya sebaliknya memadai meminta cuti untuk berkempen.

“Ya, izin saja. Nanti izin cuti kalau mahu berkempen. Jangan sampai ganggu tugas keseharian di dalam pemerintahan… ‘kan boleh izin cuti?,” kata Jokowi, seperti dipetik Kompas.

Jelas beliau, tugas menteri yang bercuti itu boleh diambil alih oleh menteri lain, sama seperti dalam keadaan menteri ke luar negara atas urusan rasmi atau cuti.

Bagaimanapun setakat ini, katanya, belum ada anggota jemaah menterinya yang memohon cuti untuk berkempen pilihan raya.

Suruhanjaya pilihan raya Indonesia membuka pendaftaran calon bermula 4 Julai lepas sehingga 17 Julai ini.

Antara menteri Kabinet beliau yang dijangka bertanding dalam pilihan raya tahun depan ialah Puan Maharani daripada Parti Demokratik Indonesia Perjuangan (menteri penyelaras didang pembangunan manusia dan kebudayaan) dan Hanif Dhakiri daripada Parti Kebangkitan Bangsa (menteri tenaga manusia).

Sekurang-kurangnya seorang menteri dalam jemaah menteri yang digelar Kabinet Kerja itu juga adalah ahli Parlimen, iaitu Menteri Industri, Airlangga Hartarto manakala hampir separuh anggota Kabinet itu dilantik daripada industri termasuk Menteri Luar, Retno Lestari, seorang bekas diplomat.

Indonesia akan mengadakan pilihan raya Parlimen pada 7 Julai 2019. – Agensi, 7 Julai, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen