Polis Turki pada Rabu membunuh lima suspek militan di wilayah Konya, tengah Turki, kata pejabat Gabenor.
“Dalam operasi itu, lima pengganas dibunuh selepas mereka menyerang pasukan keselamatan dan empat anggota pasukan keselamatan cedera,” katanya dalam satu kenyataan.
Polis turut merampas empat senjata ketika serbuan termasuk lima laras raifel Kalashnikov, sepucuk pistol dan peluru.
Serbuan itu dibuat sebagai sebahagian daripada siasatan sama ada suspek merancang untuk melancarkan serangan pada acara memperingati kegagalan rampasan kuasa pada 15 Julai, lapor agensi berita Dogan.
Kenyataan itu bagaimanapun tidak menyebut sama ada lima suspek berkenaan terbabit untuk merancang serangan itu.
Polis melancarkan serbuan pada pagi, menyasarkan sebuah rumah yang dipercayai milik rangkaian IS, lapor Dogan dan menambah sebanyak 10 buah rumah turut diperiksa.
Turki mengalami beberapa siri serangan sejak 18 bulan lalu yang dikatakan didalangi militan Kurdish dan IS.
Menurut laporan media pada Selasa, kementerian dalam negeri berkata terdapat 14 serangan pengganas yang didalangi IS termasuk 10 serangan pengebom bunuh diri, satu serangan bom dan tiga serangan bersenjata.
Serangan terbabit membunuh kira-kira 304 orang termasuk 110 anggota polis dan seorang anggota tentera.
Serangan terakhir IS adalah ketika sambutan tahun baru di sebuah kelab malam elit di Istanbul di mana 39 orang kebanyakannya warga asing ditembak mati.
Polis berjaya menangkap penyerang selepas operasi pemburuan dijalankan.
Minggu lalu, Presiden Reccep Tayyip Erdogan mendakwa Turki membunuh 3,000 pengganas IS dalam operasi menentang kumpulan itu di utara Syria bermula Ogos hingga Mac.
Beliau turut berkata, Turki turut menghantar pulang 5,000 suspek pengganas dan menghalang 53,000 orang daripada memasuki negara itu. – AFP, 12 Julai, 2017.
Komen