JURULATIH kepada pasukan bola sepak yang kini masih terperangkap dalam gua akibat banjir di utara Thailand berjanji untuk menjaga keselamatan 12 kanak-kanak tersebut.
Ekkapol Chantawong menyatakan demikian dalam satu nota kepada ibu bapa kanak terbabit, lapor AFP.
“Kepada semua ibu bapa, semua kanak-kanak ini dalam keadaan baik. Saya berjanji untuk memberi jagaan paling baik kepada anak-anak ini,” kata Ekkapol dalam nota tersebut, seperti dilapor AFP.
Pasukan penyelamat masih menangguhkan usaha menyelamat kerana bimbang dengan kadar oksigen yang rendah di paras bawah tanah itu dan juga keadaan cuaca buruk.
Antara kaedah yang dipertimbangkan pada masa ini adalah dengan menugaskan seorang penyelam berpengalaman untuk membawa keluar setiap kanak-kanak .
Ia akan diketuai penyelam Thailand dan dibantu pasukan Amerika Syarikat, Australia, United Kingdom dan negara Asia dan Eropah.
Menurut laporan, Perdana Menteri Chan-o-cha akan diberi taklimat mengenai usaha menyelamat pada hari ini.
Pasukan penyelamat semalam dilaporkan menyebut, kandungan oksigen dalam rongga gua tersebut susut ke paras 15% yang boleh menyebabkan kesan seperti mabuk gunung.
Pasukan tersebut juga dilaporkan akan cuba menjalankan operasi menyelamat apabila keadaan cuaca bertambah baik. – 7 Julai, 2018.
Komen