Shinzo Abe lawat kawasan terjejas teruk akibat banjir


Penduduk terpaksa meninggalkan kediaman mereka yang rosak teruk akibat banjir. – Gambar EPA, 12 Julai, 2017.

PERDANA menteri Jepun, Shinzo Abe pada Rabu mengadakan lawatan ke kawasan yang terjejas teruk akibat bencana banjir yang membunuh puluhan nyawa.

Hujan lebat berterusan minggu lalu menyebabkan banjir teruk di beberapa kawasan merosakkkan jalan raya dan kediaman di selatan pulau Kyushu.

Setakat ini sekurang-kurangnya 25 orang disahkan terbunuh manakala 20 orang lagi masih hilang.

Ratusan penduduk di kawasan terjejas itu terpaksa mencari perlindungan di pusat penempatan sementara, gimnasium sekolah dan bangunan awam lain.

Lebih 10,000 anggota penyelamat termasuk tentera dikerah ke lokasi bencana untuk mencari mangsa yang masih hidup.

Rakaman stesen TV NHK menunjukkan anggota penyelamat terpaksa menggali lumpur dan mengalihkan sisa kayu yang hanyut.

Abe membatalkan lawatan kerjanya ke Estonia yang dijadualkan sebagai lawatan terakhirnya ke Eropah untuk membantu mangsa.

“Saya melihat sendiri bagaimana teruknya kerosakan yang berlaku akibat bencana ini. Kerajaan memastikan keadaan di pusat pemindahan ditambah baik untuk kemudahan mangsa,” katanya. – AFP, 12 Julai, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen