SELEPAS hampir 40 tahun mencari vaksin AIDS, saintis semalam mengumumkan sejenis ubat percubaan akhirnya berjaya mencetus maklum balas imun pada manusia dan melindungi monyet daripada jangkitan.
Dilihat sebagai selamat untuk manusia, calon vaksin itu kini memasuki fasa seterusnya iaitu proses percubaan pra-kelulusan dan akan diuji pada 2,600 wanita di selatan Afrika untuk melihat sama ada ia menghalang jangkitan HIV.
Walaupun keputusan setakat ini menggalakkan, pasukan penyelidik dan pakar luar berkata tiada jaminan HVTN705 atau Imbokodo yang bermaksud batu dalam bahasa Zulu akan berfungsi pada fasa percubaan seterusnya.
“Walaupun data ini agak meyakinkan, kita perlu berhati-hati,” kata ketua kajian itu, Dan Barouch yang juga pensyarah di Sekolah Perubatan Harvard.
“Hanya kerana ia melindungi dua pertiga monyet ketika percubaan makmal, tidak bermakna ubat itu akan melindungi manusia. Kita perlu menunggu hasil kajian sebelum tahu apakah vaksin ini akan melindungi manusia daripada jangkitan HIV,” katanya.
Keputusan percubaan Imbokodo dijangka diperoleh pada 2021 atau 2022.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan 37 juta orang hidup dengan HIV/AIDS. Terdapat kira-kira 1.8 juta jangkitan baharu dan sejuta kematian dicatatkan setiap tahun.
Dianggarkan hampir 80 juta orang dijangkiti sejak virus itu didiagnosis pada awal 1980-an. Kira-kira 35 juta maut akibatnya.
Buat masa ini, mereka yang dijangkiti HIV bergantung kepada rawatan anti retroviral (ART) yang menghalang virus sepanjang hayat untuk kekal sihat. – AFP, 7 Julai, 2018.
Komen