QATAR dan Amerika Syarikat (AS) menandatangani perjanjian untuk memerangi “keganasan” dalam usaha Setiausaha Negara Rex Tillerson menyelesaikan krisis diplomatik antara negara teluk.
Tillerson berada di Qatar dalam siri pertemuan dengan negara Teluk yang lain, berkata yang Doha bertindak “munasabah” dalam kemelut itu yang menyaksikan Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu, Bahrain dan Mesir memutuskan ikatan diplomatik dan ekonomi dengan negara kecil kaya minyak itu atas dakwaan menyokong keganasan.
Tillerson menghabiskan masa minggu ini di negara Teluk dalam usaha membuka pintu perdamaian kepada sekutu kuat AS di rantau itu, dan akan berjumpa dengan menteri luar empat negara itu di Jeddah, Rabu ini.
Selepas pertemuan dengan pegawai kanan di Doha semalam, Tillerson dan Menteri Luar Qatar, Sheikh Mohamed bin Abdulrahman Al-Thani mengumumkan perjanjian yang mensasarkan pembiayaan keganasan itu.
Perjanjian itu juga merupakan “tindak balas pertama” Qatar kepada desakan Presiden AS Donald Trump semasa pertemuan di Riyadh awal tahun ini “untuk menghentikan pembiayaan keganasan”- serta menjadi petunjuk yang perjanjian itu juga bakal dilakukan dengan negara Arab lain dalam usaha menamatkan krisis itu.
Sheikh Mohammed juga mendesak negara lain untuk menyertai Qatar dengan menandatangani perjanjian sebegitu.
Tetapi usaha itu mendapat reaksi dingin negara Arab yang mengenakan sekatan ke atas Qatar bulan lepas.
“Tindakan itu tidak mencukupi,” kata kenyataan bersama dikeluarkan agensi berita Saudi, SPA menambah yang keempat-empat negara akan “memantau dekat keseriusan pihak berkuasa Qatar untuk menentang semua bentuk pembiayaan, sokongan dan melindungi keganasan.”
Komitment pihak berkuasa Qatar “tidak boleh dipercayai,” tambah kenyataan itu memetik beberapa perjanjian yang pernah ditandatangani sebelum ini.
Krisis diplomatik itu adalah krisis terburuk pernah melanda rantau itu sejak penubuhan Majlis Kerjasama Teluk (GCC) pada 1981.
Keempat-empat negara pada 5 Jun lalu mengumumkan sekatan berkuatkuasa serta merta terhadap Qatar kerana mendakwa Doha menyokong pihak pelampau Islam dan mempunyai hubungan terlalu rapat dengan Iran.
Mereka memutuskan semua ikatan diplomatik, menggantung hubungan pengangkutan dengan Doha dan mengarahkan semua rakyat Qatar pulang dalam masa 14 hari.
Pada 22 Jun, mereka mengeluarkan senarai 13 tuntutan yang sekiranya dipenuhi akan mengakhiri sekatan itu termasuklah penutupan syarikat media gergasi Al-Jazeera, menyemak kembali hubungan dengan Iran dan menutup pangkalan tentera Turki di Doha.
Qatar enggan untuk patuh dan berterusan menafikan hubungan dengan kumpulan pelampau Islam.
Ketibaan Tillerson di Doha dibayangi dengan pendedahan perjanjian rahsia sebelum ini antara Qatar dan negara GCC lain di mana semua pihak bersetuju untuk memerangi pembiayaan keganasan dan mengelakkan campur tangan di negara lain.
CNN mendedahkan perjanjian itu yang menyaksikan Arab Saudi, Qatar dan Kuwait yang kemudiannya disertai Bahrain, dan UAE menandatangani perjanjian menghalang sokongan kepada mana-mana kumpulan penentang dan ganas di negara masing-masing serta di Mesir dan Yemen. – AFP, 12 Julai, 2017.
Komen