Pemimpin sekta di Peru ditahan polis


Patricia Aguilar, seorang wanita muda rakyat Sepanyol yang meninggalkan rumahnya di Elche pada Januari 2017 selepas pemimpin satu sekta di Peru meyakinkan beliau untuk berhijrah ke negara Amerika Selatan itu.– Gambar AFP, 6 Julai, 2018.

POLIS Peru telah berjaya mengesan Patricia Aguilar, seorang wanita muda rakyat Sepanyol yang meninggalkan rumahnya di Elche pada Januari 2017 selepas pemimpin satu sekta di Peru meyakinkan beliau untuk berhijrah ke negara Amerika Selatan itu, kata jurucakap keluarga Aguilar, Noelia Bru, kepada EFE pada Khamis.

Wanita itu, yang berusia 18 tahun ketika meninggalkan Sepanyol, ditemui pada Rabu dalam sebuah rumah di pekan kecil Satipo, kira-kira 600 kilometer (373 batu) di barat Lima, yang terletak dalam wilayah paling berbahaya di Peru di mana kumpulan penyeludup dadah dan saki-baki anggota organisasi pengganas, Shining Path, bergerak aktif.

Aguilar ditemui bersama-sama seorang bayi perempuan berusia sebulan dan empat kanak-kanak serta dua ahli wanita sekta itu, yang juga sedang dicari oleh keluarga masing-masing.

Mereka hidup dalam keadaan yang tidak bersih dan kesemua wanita menunjukkan tanda-tanda telah dilayan dengan buruk manakala kanak-kanak terbabit tidak bersekolah, kata Bru.

Beberapa kilometer dari rumah di Satipo, polis telah menahan pemimpin sekta itu, Felix Steven Manrique, yang didakwa telah memancing serta menggoda wanita muda menerusi rangkaian sosial.

Aguilar dan bayinya serta dua wanita dan empat kanak-kanak terbabit, tiba di Lima pada Khamis.

Manrique juga telah dibawa ke ibu negara itu di mana beliau kemudian ditahan di ibu pejabat skuad pasukan pemerdagangan manusia polis Peru, yang kini menjalankan siasatan.

Beberapa bulan lepas, Aguilar telah mengeluarkan beberapa video yang menjelaskan bahawa beliau bukan berada di Peru tanpa kerelaannya, meskipun ahli keluarganya berpendapat beliau sedang ditahan dan berusaha bersungguh-sungguh untuk mendapatkannya kembali.

“Patricia berada di Peru secara haram, jadi kami harap beliau akan dihantar pulang meskipun kami tidak tahu apa yang akan terjadi kepada bayi itu. Kami berharap untuk membawanya pulang ke Sepanyol,” kata Bru.– Bernama, 6 Julai, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen