Bot pelancong karam di Phuket, 12 mayat ditemui setakat ini


Anggota penyelamat Thailand membawa mayat penumpang bot karam di Phuket. Berpuluh-puluh penumpang masih hilang. – Gambar AFP, 6 Julai, 2018.

TENTERA laut Thailand berjaya membawa keluar 12 mayat pelancong warga China selepas bot yang dinaiki puluhan penumpang itu karam di perairan berhampiran pulau Phuket, akibat dilanda ombak kuat.

Lima daripada mayat itu ditemui lengkap memakai jaket keselamatan, beberapa kilometer dari lokasi bot terbabit, Phoenix yang karam selepas dilanda ombak setinggi 5 meter ketika ribut melanda kawasan berkenaan, semalam.

Menurut wartawan di lokasi, seorang mangsa wanita yang berjaya diselamatkan, dibawa ke sebuah hospital di Phuket untuk rawatan lanjut.

“Wanita itu ditemui terapung-apung berhampiran mayat mangsa, beberapa kilometer dari bot terbabit dan keadaannya masih tidak diketahui,” katanya.

Sementara itu, 43 lagi penumpang masih hilang tetapi mereka dipercayai terperangkap di dalam Phoenix yang karam ketika dalam perjalanan pulang ke Phuket.

“Kesemua 12 mayat mangsa dihantar ke Hospital Vachira Phuket untuk pengesahan identiti,” kata Kementerian Kesihatan Awam dalam satu kenyataan di Bangkok.

Sementara itu, beberapa helikopter dilihat berlegar-legar di kawasan perairan terbabit, ketika pasukan penyelam cuba menghampiri bot yang dilaporkan karam pada kedalaman 40 meter di Laut Andaman.

Bot itu dilaporkan karam beberapa kilometer di luar pantai pulau kecil Koh He, yang terkenal dengan keindahan terumbu karang, terutama dalam kalangan pelancong ke Phuket.

Ketika kejadian, Phoenix dilaporkan membawa 105 penumpang, dengan sebahagian besarnya warga China.

Namun, 48 penumpang termasuk anak kapal berjaya diselamatkan dan satu mayat ditemui semalam, sebelum ia ditangguhkan tengah malam tadi. – AFP, 6 Julai, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen