JUMLAH mangsa yang hilang selepas gunung berapi Fuego meletus bulan lepas telah meningkat kepada 332 orang dengan 73 daripadanya adalah kanak-kanak, menurut Jabatan Koordinasi Kebangsaan Guatemala bagi Pengurangan Bencana.
Angka itu diberikan kepada EFE oleh jurucakap jabatan berkenaan, David De Leon, selepas pihak berkuasa mengemas kini jumlah mangsa yang hilang daripada 197 kepada 332 orang dan mengesahkan sekurang-kurangnya 113 kematian.
Bagaimanapun, angka itu berbeza dengan apa yang diberikan oleh kumpulan sukarela, Antigua al Rescate, bahawa terdapat lebih 2,900 mangsa yang maut serta hilang di kawasan sifar bumi tersebut di San Miguel Los Lotes, dengan 470 daripadanya adalah kanak-kanak.
Sebagai tambahan kepada angka itu, letusan Fuego pada 3 Jun, yang dianggap terbesar sejak beberapa tahun kebelakangan ini, menyebabkan kira-kira 50 orang cedera, lebih 3,000 dipindahkan dari kawasan sekitar dan menjejaskan lebih 1.7 juta penduduk Guatemala yang tinggal di bahagian-bahagian Escuintla, Sacatepequez dan Chimaltenango. – Bernama, 6 Julai, 2018.
Komen