Henti dolak-dalik kes kahwin budak


KAMI bimbang dan memandang serius kenyataan Timbalan Menteri Besar Kelantan Mohd Amar Abdullah pada 4 Julai 2018 mengenai kekesalan beliau terhadap perkahwinan di bawah umur antara seorang lelaki berumur 41 tahun dan kanak-kanak perempuan berumur 11 tahun yang tular baru-baru ini.

Beliau juga mengatakan bahawa isu zina, anak luar nikah, gay dan lesbian isu yang lebih besar berbanding isu perkahwinan kanak-kanak. Baginya, isu perkahwinan anak adalah tidak salah daripada segi agama dan tidak patut diperbesarkan menjadi isu negara: “Benda ini isu terpencil, bukan semua lelaki kahwin dengan budak berusia 11 tahun”.

Kami khuatir kenyataan sedemikian menunjukkan sikap tidak serius kerajaan negeri Kelantan dalam menangani isu perkahwinan kanak-kanak bawah umur yang sememangnya satu isu kritikal yang memerlukan tindakan segera dan serius oleh kerajaan pusat serta kerajaan negeri.

Menurut kenyataan Majlis Peguam Negara, antara 2005 dan 2015, sebanyak 10,240 penduduk beragama Islam membuat permohonan bagi perkahwinan kanak-kanak di Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia. Manakala, antara 2000 dan 2014, 7,719 permohonan perkahwinan dibuat bagi kanak-kanak perempuan antara 16 dan 18 tahun bukan Islam. 

Mengikut statistik global, jika tiada sebarang pengurangan dalam statistik bagi perkahwinan kanak-kanak menjelang 2050, sebanyak 1.2 bilion kanak-kanak perempuan akan dikahwinkan.

Selain itu, Bernama pada 4 Julai melaporkan pernikahan antara lelaki berusia 41 tahun dengan kanak-kanak berusia 11 tahun itu tidak sah dan tidak mendapat kebenaran Majlis Agama Islam Narathiwat.

Justeru, ini bukanlah suatu isu terpencil yang boleh dipandang remeh seperti didakwa Amar.

Perkahwinan kanak-kanak merupakan perkara yang memerlukan pendekatan menyeluruh sekali gus punca-punca yang menggalakkan isu ini berterusan harus dikaji dengan teliti.

Hal ini termasuklah isu kemiskinan, kurang pemahaman gender dan kurang keutamaan terhadap perlindungan hak kanak-kanak.

Kahwin bawah umur memberi impak dari sudut kesihatan dan psikologi yang boleh menyebabkan kanak-kanak bawah umur terdedah kepada risiko keganasan dan penderaan.

Tambahan pula, kahwin bawah umur akan menjejaskan peluang bagi kanak-kanak untuk mendapatkan pendidikan formal sekali gus membebankan mereka dengan kerja dan tanggungjawab rumahtangga yang mereka tidak mampu jalankan.

Turut membimbangkan, isu berkenaan zina dan LGBT digunakan untuk mengalihkan perhatian orang awam daripada isu utama di sini, iaitu isu perkahwinan kanak-kanak. Cubaan kerajaan negeri untuk berdolak-dalik dan menjadikan isu zina dan LGBT sebagai kambing hitam kepada isu sebenar hanya akan menyumbang kepada stigma dan salah faham masyarakat terhadap isu yang sebenar.

Kerajaan negeri dan kerajaan pusat harus bertanggungjawab dalam menegakkan dan melindungi hak kanak-kanak sekali gus meletakkan kepentingan dan keperluan kanak-kanak sebagai keutamaan.

Ini selaras dengan tanggungjawab Malaysia sebagai negara yang telah meratifikasikan Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak (CRC) JAG juga menyokong cadangan Majlis Peguam dalam penubuhan Suruhanjaya Kanak-Kanak yang melaporkan terus ke Parlimen dengan kuasa untuk menangani isu perkahwinan kanak-kanak dan perkara lain yang berkaitan dengan kanak-kanak. – 6 Julai, 2018.

* Ini ialah kenyataan Gabungan Organisasi Wanita Bertindak bagi Kesamarataan Gender (JAG), yang dikeluarkan bersama oleh sembilan pertubuhan wanita.

* Ini adalah pendapat penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Diharap kerajaan baru PH akan menyelam perkara ini sehingga tuntas. Adalah tidak berperikemanusiaan membiarkan kanak-kanak yang masih tidak mampu membuat keputusan ditolak ke dunia perkahwinan yang melibatkan tanggungjawab. Jangan dibiarkan golongan pedophile ini berleluasa. Berikan hukuman yang berat.

    Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh Princess Katara · Ulasan

  • ' Pengikut2 Ajaran Setan ' atau kalangan paedofil memang nya gian dengan kanak2 yang yang mentah dan kurang minat kepada wanita2 yang matang !!

    Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh Gerald Tak · Ulasan