SEORANG penyelam profesional meninggal dunia dalam operasi menyelamat 12 budak dan seorang jurulatih bola sepak mereka yang terperangkap dalam sebuah gua di Chiang Rai, Thailand, lapor AFP.
Penyelam bekas tentera laut Thailand itu mati lemas selepas kehabisan oksigen semasa membantu operasi menyelamat 13 orang yang terperangkap sejak 23 Jun lepas.
“Seorang bekas anggota tentera laut yang sukarela membantu meninggal dunia malam tadi, kira-kira pukul 2 pagi,’ kata Timbalan Gabenor Chiang Rai, Passakorn Boonyaluck, seperti dipetik agensi berita itu.
Beliau menyifatkan insiden itu sebagai “berita sedih”.
Bekas tentera itu, Saman Kunont, 38, sedang berenang berpatah balik dari tempat 13 mangsa terperangkap di dalam gua Tham Luang ketika bekalan oksigennya habis.
Kematian anggota pasukan penyelamat itu menunjukkan kesukaran operasi mengeluarkan 13 mangsa yang terperangkap dalam gua yang dinaiki air. Ia juga mencetuskan tanda tanya apakah sesuai mereka yang terperangkap itu diselamatkan melalui cara sama.
Mereka yang terperangkap ditemui pada 2 Julai dalam keadaan selamat, sembilan hari selepas dilaporkan hilang.
“Walaupun kehilangan seorang anggota, kami masih yakin akan dapat selesaikan tugas ini,” kata Komander Unit Seal Thailand, Apakorn Yookongkaew.
Ditanya bolehkah 12 kanak-kanak dan jurulatih mereka yang dilaporkan tidak pandai berenang dan menyelam itu keluar dengan selamat, ketika penyelam berpengalaman pun terkandas, Apakorn berkata, mereka akan lebih berhati-hati dengan kumpulan yang hendak diselamatkan itu.
Ini kemalangan pertama dalam usaha menyelamat luar biasa ini, yang mengingatkan dunia kepada insiden 33 pelombong di Chile yang terperangkap di bawah tanah selama 69 hari. – Agensi, 6 Julai 2018.
Komen