Siasat punca perkahwinan bawah umur


MERUJUK kepada polemik isu perkahwinan di bawah umur melibatkan seorang lelaki berumur 41 tahun dan anak perempuan yang berumur 11 tahun yang berlaku di Kelantan baru-baru ini, semua pihak hendaklah kembali patuh kepada peruntukan undang-undang Mahkamah Syariah yang sedia ada di Kelantan.  

Peruntukan tersebut adalah terbaik dan paling menepati maqasid syariah, fiqhul waqi’ (pemahaman realiti) dan ‘uruf (amalan budaya) bukan sahaja masyarakat Islam, malah masyarakat bukan Islam di negara ini.  

Peruntukan tersebut dengan jelas menyatakan bahawa sesuatu pasangan itu hanya boleh diakadnikahkan jika seorang lelaki itu berumur lebih daripada 18 tahun atau perempuan itu berumur lebih daripada 16 tahun kecuali jika hakim syarie memberi kebenarannya secara bertulis dalam hal keadaan tertentu (Lihat Peruntukan Seksyen 8, Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Kelantan) 2002, Bahagian II-Perkahwinan; Juga Akta 303: Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984, Bahagian II-Perkahwinan). Sebahagian Negeri mewajibkan persetujuan ibu bapa mereka (lihat seksyen 8 Enakmen Keluarga Islam Kedah 2008).

Peruntukan yang hampir sama juga wujud bagi mereka yang bukan beragama Islam (Lihat Seksyen 10 dan Seksyen 21(2), Akta Membaharui Undang-undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 (Akta 164), yang menyatakan usia minimum perkahwinan adalah 18 tahun.

Andainya pasangan itu berusia antara 16 hingga 18 tahun, mereka perlu mendapatkan kebenaran bertulis daripada ketua menteri dan mahkamah.

Isu yang perlu difokuskan kini bukanlah sama ada perkahwinan itu sah atau tidak.  Apa yang perlu diberikan perhatian adalah, adakah wajar kanak-kanak yang begitu mentah dan tidak pula mendapat peluang pembelajaran dan ilmu sewajarnya itu dikahwinkan dengan siapa saja?

Adakah akhirnya nanti, perkahwinan sebegini akan membentuk keluarga “mawaddah” dan “rahmah” serta melahirkan umat yang cemerlang sepertimana yang dituntut oleh syariat Islam?

Dari sudut maqasid syariah yang menyeluruh, isu ini hendaklah dikaji bukan sahaja melibatkan persoalan undang-undang dan fiqah mengenainya, malah melibatkan sudut psikologi, sosial, ekonomi dan pendidikan.

Sesungguhnya, kami amat bimbang andainya sesuatu perkahwinan di bawah umur itu berlaku berakar umbi dari faktor kemiskinan, diskriminasi terhadap kaum wanita, manipulasi terhadap anak-anak perempuan, dan pengabaian tanggungjawab oleh pihak si wali.  

Lebih parah, andainya seseorang anak di bawah umur itu dikahwinkan demi untuk membebaskan si wali daripada tekanan kewangan, membayar hutang atau mendapatkan ganjaran kewangan daripada mana-mana pihak.

Jika ini yang berlaku, ia merupakan suatu pengabaian kepada martabat dan maruah anak-anak dan kaum wanita untuk membolehkan mereka berkembang, stabil dan turut serta secara aktif memberikan sumbangan kepada kecemerlangan masyarakat dan negara.

Justeru, kami menyatakan sokongan sepenuhnya saranan Timbalan Perdana Menteri, Dr Azizah Wan Ismail agar masyarakat Islam mematuhi peruntukan undang-undang yang sedia ada mengenai perkara ini.

Di samping itu, kami juga ingin menyarankan agar kajian-kajian mendalam faktor dan kesan fenomena ini hendaklah dilakukan. 

Semoga dengan cara ini, fenomena ini dapat diurus dengan sebaik-baiknya, tuntas dan menyeluruh demi kecemerlangan tamadun generasi baru umat dan negara di masa depan. – 6 Julai, 2018.

* Maktar Shapee adalah naib pengerusi Biro Pemahaman & Pemantapan Agama (BiPPA), PKR.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen