Peluru berpandu Korea Utara 'mungkin' sampai ke AS dalam 2 tahun


Peluru berpandu Korea Utara, Hwasong-14 dijangka mampu mencapai pantai barat Amerika Syarikat dalam tempoh dua tahun lagi. – Gambar EPA, 11 Julai, 2017.

PELURU berpandu balistik antara benua Korea Utara “mungkin” mampu menghantar 500 kilogram peledak ke San Diego dalam tempoh dua tahun, kata kumpulan pemantau Amerika Syarikat selepas ia dilancarkan minggu lalu.

Kejayaan ujian kali pertama peluru berpandu ICBM itu juga disifatkan pemimpin negara itu, Kim Jong-Un sebagai “hadiah” kepada Amerika.

Peluru berpandu Hwasong-14 yang kini dianggarkan mampu mencapai jarak 7,000-8,000 kilometer, cukup untuk mencapai Alaska atau Hawaii – kata jurutera aeroangkasa John Schilling pada laman web 38 North, sebuah projek pemantau dengan Universiti John Hopkins.

“Sekiranya Hwasong-14 disusun dengan cara yang kita fikirkan, ia boleh melakukan lebih baik lagi.

“Korea Utara tidak akan mampu mencapai prestasi ini esok, tetapi mereka mungkin berjaya juga akhirnya,” katanya.

Buat masa ini katanya, negara itu cukup bertuah sekiranya mampu mencapai sasaran bersaiz sebuah bandar.

Namun dalam tempoh satu atau dua tahun ujian dan pembangunan tambahnya, ia mungkin menjadi peluru berpandu yang mampu membawa kepala peledak nuklear untuk mensasarkan sepanjang pantai barat Amerika Syarikat, mungkin dengan kemampuan memusnahkan sasaran seperti pangkalan tentera laut.

Teknologi peluru berpandu Korea Utara yang diharamkan pembangunannya oleh Majlis Keselamatan PBB berkembang pesat di bawah Kim Jong-Un sehingga menimbulkan ketegangan antara Pyongyang dan Washington.

Negara terbabit juga mengadakan lima ujian nuklear sebelum ini termasuk dua tahun lalu.

Washington mencadangkan sekatan PBB lebih keras terhadap Korea Utara, tetapi para penganalisis mengatakan bahawa mereka akan berdepan kesan yang terhad melainkan jika China - sekutu utama dan sekutu ekonomi utama negara itu – mulakan langkah mengenakan tekanan terhadap jirannya.  – AFP, 11 Julai, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen