'Malaysia Baru' dengan 'politik feudal penuh dendam', kata anak Najib


Nazifuddin Najib mendakwa negara masih mempraktikkan pendakwaan berat sebelah seperti sebelum ini, kecuali rakyatnya berbeza, tetapi secara kebetulan di bawah perdana menteri yang sama. – Gambar Facebook, 6 Julai, 2018.

MALAYSIA baharu hari ini, di bawah perdana menteri yang sama, tidak jauh berbeza dengan yang lama sejak 30 tahun lalu, kata Mohd Nazifuddin Najib.

Anak bekas perdana menteri Najib Razak itu mendakwa negara masih mempraktikkan pendakwaan berat sebelah seperti sebelum ini, kecuali rakyatnya berbeza, tetapi secara kebetulan di bawah perdana menteri yang sama.

Nazifuddin merujuk kepada Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad di halaman Facebooknya semalam, sehari selepas bapanya dituduh dengan tiga pertuduhan pecah amanah dan penyalahgunaan kuasa.

“Kami sebagai sebuah negara yang melaungkan demokrasi sememangnya tidak matang dari segi politik, masih mengamalkan politik ‘feudal’ yang penuh dengan dendam,” katanya.

Nazifuddin, seorang ahli perniagaan berusia awal 30-an, adalah anak Najib daripada perkahwinannya sebelum ini dengan Tengku Puteri Zainah Tengku Eskandar.

Najib didakwa pada Rabu kerana menyalahgunakan kedudukannya sebagai pegawai kerajaan untuk menerima rasuah RM42 juta sebagai dorongan untuk memberi jaminan kerajaan Malaysia bagi pinjaman RM4 bilion daripada Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) atau KWAP kepada SRC International Sdn Bhd .

Beliau juga menghadapi tiga tuduhan pecah amanah (CBT) dalam kapasitinya sebagai perdana menteri, menteri kewangan dan penasihat SRC International.

Beliau meminta untuk dibicarakan dan dibebaskan dengan ikat jamin RM1 juta.

Nazifuddin menyebut berkenaan serbuan terancang, ‘black maria’ polis di rumah ayahnya semasa Ramadan dan sidang akhbar yang tidak berkesudahan bertujuan untuk mewujudkan kemarahan orang awam sebelum beliau didakwa.

“Bukankah ia prosedur am untuk tidak berkongsi butiran semasa siasatan sedang dijalankan. Atau adakah ia dibuat semata-mata untuk mengaibkan lagi ayah saya?

“Saya terfikir, logikkah jika seorang perdana menteri Malaysia boleh dibeli dengan hanya RM42 juta? Sekadar itu sahajakah nilai integritinya?

“Jika setiap kes pecah amanah, salah guna kuasa mahupun rasuah boleh dikaitkan dengan seorang PM, maka beliau dan kesemua mantan PM sebelum ini haruslah bertanggungjawab terhadap semua kerugian yang dialami sepanjang kepimpinan mereka,” katanya.

Bekas perdana menteri sebelum Najib yang masih ada adalah Abdullah Ahmad Badawi dan Dr Mahathir, yang kembali berkuasa.

Nazifuddin berkata pendakwaan bapanya juga dipimpin oleh peguam negara yang dipilih oleh kerajaan sekarang, walaupun ia ditentang oleh banyak pihak.

Ini katanya, jelas menunjukkan politik balas dendam.

“Sudah jelas kepada saya bahawa tunjang manifesto pembangkang sewaktu Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) adalah untuk membawa perdana menteri yang dituduhnya korup ke muka pengadilan di mahkamah.

“Inilah yang mereka janjikan, dalam apa jua cara sekalipun, mereka mesti tunaikan janji mereka secepat mungkin,” katanya.

Nazifuddin berkata bapanya berdepan pelbagai fitnah semasa PRU14.

“Saya mengatakan perkara ini bukan untuk meraih simpati tetapi untuk menyatakan sesuatu yang benar untuk semua orang lihat dan fahami: Sekiranya penderitaan seorang bekas pemimpin yang telah dituduh itu dapat membahagiakan rakyat Malaysia yang dikasihi, maka beliau sanggup menghadapi penderitaan itu.

“Dia adalah ayah saya, dan saya tahu orang Malaysia mengenali beliau jenis orang yang macam mana.

“Jika selama 42 tahun beliau berkhidmat dalam kerajaan sebagai seorang penjahat, atau niatnya untuk mencuri wang rakyat semata-mata, saya tidak fikir beliau dapat dilantik sebagai perdana menteri Malaysia pada tahun-tahun yang lalu.”

Reaksi terhadap posting beliau itu tidak jauh berbeza daripada yang diterima adiknya, Nooryana Najwa selepas beliau meminta simpati terhadap bapanya di Instagram pada Rabu.

Ramai pengguna media sosial mencemuh, sementara yang lain memberitahu Nazifuddin supaya terus tabah. – 6 Julai, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Nasihat saya ... bersedialah. Ini cuma mukaddimah. Were just warming up. More to come and more will come. And you should pace yourself. Keluar statement hari2 ... nanti rakyat akan meluat dan meyampah sebab kami boleh dengar dan lihat. And if you think we are going to give back this country to BN so easily ... then youre dead wrong. You will be ruled by this feudalistic vengeful government supported by Malaysians for many many moons to come. So bersedialah ...

    Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh NA Bayezid · Ulasan