AMERIKA Syarikat (AS) menggunakan ujian DNA terhadap 3,000 kanak-kanak pendatang yang masih terpisah daripada ibu bapa mereka, kata seorang pegawai tertinggi hari ini ketika pentadbiran Presiden Donald Trump berusaha menyatukan kembali keluarga di tengah-tengah krisis sempadan.
Prosedur kontroversi itu adalah sebahagian daripada usaha kerajaan untuk sebelum tarikh akhir yang dikenakan mahkamah untuk menyatukan anak-anak dengan ibu bapa mereka, di samping gesaan tindakan pantas oleh Kongres untuk memperbaiki undang-undang imigresen “gila” negara.
Jabatan Kesihatan dan Perkhidmatan Manusia “melakukan ujian DNA untuk mengesahkan ibu bapa dengan cepat dan tepat,” kata Setiausaha HHS Alex Azar kepada pemberita di dewan persidangan. Pasukannya berkata prosedurnya “tidak berbahaya” yang hanya mengambil sampel pipi.
Biasanya jalan terakhir untuk mengenal pasti pendatang - jika sijil kelahiran atau dokumen lain tidak ada - ujian DNA digunakan untuk mempercepatkan proses bagi menuruti perintah hakim untuk menyatukan semula keluarga pada 26 Julai, dan pada Selasa berikutnya bagi 100 kanak-kanak di bawah umur lima tahun.
Bagaimanapun Azar menggambarkan proses itu teratur dan mempersoalkan pihak yang mempertikaikan pentadbiran Trump kerana gagal mengambil kira mereka yang di bawah umur.
“HHS mengetahui identiti dan lokasi setiap kanak-kanak yang berada dalam jagaan penjaga kami,” katanya sambil menambah pihak berkuasa berusaha untuk menyatukan anak-anak dengan ibu bapa mereka “secepat mungkin.”
Kira-kira 11,800 kanak-kanak bawah umur kini berada dalam tahanan AS selepas menyeberang dari Mexico, kata Azar. Sebanyak 80% adalah remaja, sebahagian besarnya lelaki yang memasuki AS sendirian.
Azar tidak memberikan angka tepat jumlah anak-anak yang ditahan yang terpisah daripada ibu bapa mereka, hanya mengatakan jumlah itu “kurang 3,000” di bawah umur dan mereka berada dalam “jagaan” yang sangat baik, diberi makan tiga kali sehari, senaman dan hiburan.
Pentadbiran sebelum ini mengatakan lebih 2,000 kanak-kanak kecil yang terpisah masih dalam penjagaannya.
Azar berkata, keluarga yang bersatu semula akan kekal dalam jagaan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri sehingga kes mereka dihakimi. – AFP, 6 Julai, 2018.
Komen