ANGKA kematian akibat banjir yang melanda selatan Jepun mencecah 25 orang, kata agensi kerajaan pada Selasa, di mana pasukan penyelamat masih bertungkus lumus mengeluarkan 100 mangsa terperangkap.
Hujan lebat dijangka berterusan di Kyushu selepas kawasan barat daya pulau itu terjejas akibat limpahan sungai yang menyebabkan kerosakan jalan raya, rumah dan sekolah memaksa ribuan penduduk dipindahkan ke pusat perlindungan.
Ramai lagi mangsa dilaporkan terkandas dan pasukan penyelamat bertungkus lumus menyelamatkan mereka.
150 orang terputus hubungan pada Isnin selepas bencana teruk itu melanda Fukuoka dan Oita kata pihak berkuasa tempatan.
Seramai 25 orang disahkan maut manakala 25 lagi tidak dapat dikesan, kata Ketua Setiausaha Kabinet Yoshihide Suga.
12,000 anggota penyelamat dikerahkan ke lokasi untuk mengesan mangsa serta mengalihkan sisa runtuhan yang menyukarkan proses pencarian, kata Suga.
Perdana Menteri Shinzo Abe membatalkan lawatan ke Estonia yang merupakan lawatan kerja terakhirnya ke Eropah, termasuk sidang kemuncak G-20 di Jerman, untuk kembali ke Tokyo bagi menyelesaikan krisis bencana itu.
Abe dijangka mengadakan lawatan ke Fukuoka dan Oita pada Rabu dan bertemu dengan kakitangan di pusat perlindungan sementara serta pihak berkuasa tempatan.
Hujan lebat pada kadar 50cm mula melanda kawasan Kyushu sejak minggu lalu dan berterusan hingga kini.
Agensi kaji cuaca Jepun pada Selasa meramalkan hujan lebat berterusan di Kyushu. – AFP, 11 Julai, 2017.
Komen