PASUKAN penyelamat tempatan menjalankan operasi mencari dan menyelamat di perairan pulau peranginan popular Phuket di selatan Thailand selepas keadaan laut bergelora berikutan ribut kencang mengakibatkan sebuah bot penyelam dan sebuah bot pesiaran terbalik petang ini.
Menurut media tempatan, operasi menyelamat dilancarkan untuk mencari lebih 120 pelancong, termasuk kanak-kanak, yang terhumban ke laut selepas bot yang dinaiki mereka terbalik, dalam dua insiden berasingan.
Ia memetik polis Chalong sebagai berkata insiden pada 5.45 petang (waktu tempatan) itu mengakibatkan sebuah bot membawa 97 pelancong untuk aktiviti menyelam bernama ‘Phoenix Diving’ terbalik berhampiran Koh Hei, di selatan pulau itu.
Dalam satu lagi insiden, sebuah bot pesiaran yang dinaiki kira-kira 30 orang, juga terbalik selepas dibadai ombak besar di Koh Mai Ton, berhampiran pulau itu.
Operasi menyelamat pelancong yang hilang itu, sebahagian besar dari Rusia dan China, tergendala disebabkan laut bergelora dan keadaan gelap. – Bernama, 5 Julai, 2018.
Komen