Presiden mahu ubah perlembagaan, bantahan memuncak di Venezuela


Bantahan terbaru berlaku di Caracas menyebabkan puluhan penunjuk perasaan dan anggota keselamatan cedera. – Gambar AFP, 11 Julai, 2017.

PERSAINGAN antara kumpulan pro dan anti kerajaan bagi mendapatkan sokongan awam terhadap rancangan Presiden Venezuela Nicolas Maduro untuk memastikan perwakilan dipilih menerusi pilihan raya hujung bulan ini semakin sengit.

Perwakilan itu adalah untuk sebuah dewan perlembagaan baru ditubuhkan bertujuan mengubah perlembagaan.

Pakatan pembangkang yang kembali bersemangat selepas pembebasan salah seorang tokohnya, Leopoldo Lopez dari penjara kini mengetuai desakan menentang pemilihan perwakilan baru itu,  pilihan raya dijadualkan berlangsung pada 30 Julai depan.

Isnin lalu, pembangkang menganjurkan tunjuk perasaan di Caracas yang menyebabkan berpuluh penunjuk perasaan dan anggota keselamatan cedera.

Kedegilan Maduro untuk meneruskan pemilihan itu- yang dilihat beberapa pengkritik sebagai cara untuk melangkaui parlimen yang dikuasai pembangkang- menimbulkan kebimbangan  lebih banyak keganasan jalanan akan berlaku.

Sejak 1 April, lebih daripada 90 orang sudah terbunuh dalam protes.

Gereja Katolik negara itu menuduh presiden menjadikan negara itu “pemerintahan diktator tentera”.  Venezuela dahulunya negara kaya minyak kini sedang berdepan krisis ekonomi teruk yang melumpuhkannya.

Bagaimanapun, Presiden Rusia Vladimir Putin yang merupakan sekutu lamanya memuji Maduro kerana “usahanya untuk mengekalkan kestabilan dan keamanan negara itu,” menurut kenyataan kementerian luar Venezuela.

Putin juga menyokong dakwaan Maduro yang dia ialah mangsa plot pihak asing untuk menjatuhkannya.

Kempen untuk dewan persidangan perlembagaan Venezuela akan berakhir pada 27 Julai nanti.

Pakatan pembangkang mengatakan yang mereka tidak akan meletakkan calon dalam pilihan raya itu dan menggelarkannya satu “penipuan.”

Situasi di negara itu disemarakkan lagi dengan pembebasan Lopez dari penjara. Dia dipenjarakan sejak 2014 atas tuduhan mencetuskan keganasan.

Dia akan menghabiskan baki hukuman penjaranya sebagai tahanan rumah di ibu kota itu walaupun peguamnya mengatakan mereka akan berusaha membatalkan larangan itu juga.

Pada Ahad- hari ke 100 protest kepada Maduro berlangsung- 4,000 pembantah berarak menentang presiden itu.

Pembangkang juga mengatakan yang mereka akan terus mendesak pembebasan lebih 400 lagi tahanan yang disifatkan mereka sebagai ‘tahanan politik’, tetapi kerajaan menegaskan yang tahanan itu ialah penjenayah bukan politik. – AFP, 11 Julai, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen